Liverpool pesta gol di Old TraffordLiverpool pesta gol di Old Trafford
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Liverpool pesta gol di Old Trafford


25 Okt 2021 Oleh Wartawan Nabalu News MANCHESTER: Pertemuan dua musuh tradisi bola sepak antara Liverpool dan Manchester United berakhir dengan kemenangan Liverpool, 5-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris semalam.

Hatrik Mohamed Salah serta gol dari Naby Keita dan Diogo Jota memberikan kemenangan terbesar buat The Reds. Pada babak pertama perlawanan, pertahanan yang kucar kacir menyebabkan United dibolosi empat gol tanpa balas buat pertama kalinya dalam Liga Perdana. Gol Liverpool hadir seawal minit ke lima perlawanan apabila tendangan Keita menembusi gawang lawan. Liverpool menggandakan jaringan lapan minit kemudian menerusi Jota selepas menerima hantaran cantik dari Trent Alexander-Arnold. Salah kemudiannya meledak gol ketiga buat Liverpool pada minit ke-38 sebelum menambah jaringan keduanya pada waktu kecederaan. Penyerang United, Cristiano Ronaldo bernasib baik untuk kekal di padang selepas hanya menerima kad kuning kerana menendang Curtis Jones ketika pemain tengah Liverpool itu terbaring di atas tanah bersebelahan dengan bola. Lima minit selepas babak kedua bersambung, Salah melengkapkan hatriknya selepas menyudahkan hantaran Jordan Henderson untuk kemenangan 5-0 buat Liverpool. United cuba bangkit sejurus selepas itu, malangnya jaringan Ronaldo dibatalkan oleh pengadil akibat offside. Hari United bertambah malang apabila pemain gantian Paul Pogba dibuang padang 15 minit selepas dibawa masuk kerana terjahan dua kakinya ke atas Keita, yang memaksa pemain Liverpool itu diusung keluar padang. Dengan kemenangan tersebut Liverpool kekal di tangga kedua liga dengan 21 mata hanya satu mata di belakang Chelsea, sementara Manchester City di tangga ketiga.

bottom of page