Madius bangkitkan isu pesawat terhempas, minta MOT jelaskan langkah pencegahan
- nabalunews
- Mar 7
- 2 min read

7 Mac 2025
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau terus prihatin dalam membangkitkan persoalan isu-isu semasa bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak berautoriti.
Pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu meminta Kementerian Pengangkutan (MOT) menyatakan langkah-langkah dalam memastikan sistem pengangkutan udara di negara ini sentiasa dalam keadaan baik.
“Ia bagi mengurangkan atau mengelakkan risiko berlakunya kejadian pesawat terhempas seperti kejadian di beberapa negara pada penghujung tahun 2024,” katannya dalam Sesi Soalan Lisan, di sini.
MOT dalam satu Jawapan Bertulis memaklumkan, pihaknya melalui Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Civil Aviation Authority Malaysia – CAAM) sentiasa memastikan pemain utama industri penerbangan mematuhi piawaian dan amalan yang disyorkan International Civil Aviation Organisation (ICAO) bagi memastikan keselamatan para penumpang sentiasa diutamakan.
Menurutnya, ia merangkumi pelbagai langkah kawalan dan pencegahan keselamatan berkaitan pengurusan lapangan terbang, operasi pesawat, penumpang, kargo, bagasi dan kakitangan.
“Bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini yang melibatkan pengangkutan udara, pihak CAAM telah melaksanakan beberapa langkah proaktif susulan kejadian-kejadian kemalangan yang telah berlaku di luar negara dan dalam negara.
“CAAM telah memperhebatkan tindakan Penguatkuasaan dan Pematuhan Piawaian dengan meningkatkan program audit berkala dan pemeriksaan bagi memastikan semua pihak pemegang taruh industri penerbangan mematuhi peraturan dan piawaian yang telah ditetapkan.
“Di samping itu, CAAM kini di dalam proses mengemaskini dan menambah baik Akta Penerbangan Awam 1969 [Akta 3] serta Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 selari dengan piawaian dan panduan yang diberikan (Standards and Recommended Practices - SARPs) oleh ICAO,” jelas MOT.
Mengulas lanjut, kementerian itu melalui CAAM juga telah membangunkan dan melaksanakan program State Safety Programme (SSP) mengikut piawaian yang ditetapkan ICAO, termasuk rangka kerja perundangan, tanggungjawab dan akauntabiliti, serta mekanisme promosi keselamatan di peringkat kebangsaan.
“Melalui SSP, CAAM juga telah mewujudkan dan menyelenggara sistem data keselamatan berpusat yang mengumpul, menganalisis, serta memantau data dan trend keselamatan penerbangan.
“CAAM juga turut menyediakan dan menyelaras pelan tindak balas kecemasan (Emergency Response Plan – ERP) yang komprehensif dengan semua pemain utama sektor penerbangan udara negara.
“Pada masa yang sama, CAAM juga turut melaksanakan latihan simulasi kecemasan (table-top exercise dan full-scale exercise) secara berkala bagi menilai keberkesanan pelan yang telah dibangunkan,” tambah MOT lagi.
Comments