top of page
Wartawan Nabalu News

Madius cadang AGC hadir mesyuarat Jawatankuasa Parlimen


24 Januari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News

 

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau, mencadangkan agar Attorney General Chamber (AGC) dijemput menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Ekonomi dan Kewangan Parlimen akan datang.

 

Beliau berkata, ini kerana mesyuarat itu melibatkan hal-hal berkaitan perundangan, khususnya proviso dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kepada Sabah mendapatkan 40% hasil bersih pendapatan Persekutuan.

 

Jelas Madius, mesyuarat itu sepatutnya membincangkan dua agenda, tetapi agenda berkaitan pemberian RM300 juta wilayah Sabah dan Sarawak ditangguhkan ke suatu tarikh kerana Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan dan Pegawai-pegawai Kanan Kementerian menghadiri Sambutan Hari Kastam Sedunia.

 

“Bagi sesi agenda yang satu lagi, Ahli-ahli jawatankuasa telah diberi taklimat berkaitan falsafah pembangunan dan perancangan jangka panjang negara oleh Prof Dr Asan Ali Gollam Hassan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

 

“Saya melihat sudah tiba masanya untuk negara meletakkan sebuah misi dan visi baru untuk menentukan hala tuju negara dalam 30 - 50 tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

 

Tambah Madius, menerusi taklimat yang diberikan oleh Prof Dr Asan, selepas Wawasan 2020 , masih belum ada misi yang ditetapkan untuk menjadi arah tuju yang jelas kepada negara.

 

“Ia penting agar semua tindakan dan keputusan yang dibuat masa ini, baik dalam urusan pembangunan atau tata kelola pentadbiran, semuanya seiring dengan misi dan visi yang ditetapkan.

 

“Saya secara peribadi tertarik dengan taklimat yang diberikan. Banyak input dan fakta penting yang dikemukakan bermula dari pentadbiran Perdana Menteri yang pertama hingga kini.

 

“Taklimat-taklimat seumpama inilah yang menjadi salah satu sesi pada setiap kali mesyuarat diadakan. Yang mana jawatankuasa ini dibantu oleh 15 ahli-ahli akademik sebagai pakai rujuk Jawatankuasa Pilihan Khas Ekonomi dan Kewangan.

 

“Ia bagi memastikan kesemua ahli-ahli dilengkapi dengan fakta berkenaan dasar-dasar kerajaan sekali gus dapat memberi sumbang saran dan idea yang bernas, berkualiti dan mantap dalam sesi perbincangan dalam persidangan dewan rakyat,” katanya.

Comments


bottom of page