top of page

Madius cadang, Hari Malaysia 2022 diadakan di Kuala Lumpur

  • Wartawan Nabalu News
  • Dec 14, 2021
  • 1 min read

ree

14 Disember 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mencadangkan supaya sambutan Hari Malaysia tahun 2022 diadakan di Kuala Lumpur.


Beliau berkata, ia sebagai langkah pengukuhan meraikan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2021, yang memasukkan tarikh pembentukan Malaysia 16 September 1963 secara perundangan berbanding hanya secara pentadbiran sebelum ini.


“Langkah pertama ialah, kerajaan hendaklah meraikan Hari Malaysia itu dengan lebih meluas bukan setakat diadakan di Sabah dan Sarawak seperti yang diadakan sejak tahun 2011.


“Tuaran mencadangkan paling cantik adakan di Stadium Merdeka, dan lakukan dengan iringan pameran sejarah Pembentukan Malaysia yang sebenar,” katanya dalam ucapan perbahasan bagi RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2021 di Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini, hari ini.


Madius berkata, dengan lulusnya pindaan itu maka Malaysia mempunyai “Hari Jadi” seperti yang termaktub dalam Artikel 160 (2) Perlembagaan Malaysia.


“Tuaran menyokong pindaan ini kerana yakin bahawa langkah ini akan memperkukuhkan lagi kesatuan serta perpaduan negara kita Malaysia.


“Kenapa? Sebab setiap kali Perakuan-perakuan dalam Perjanjian Pembentukan Malaysia 1963 dilaksanakan dan setiap kali sejarah pembentukan Malaysia itu diberi pengiktirafan dan penghormatan rasa kekuatan rakyat Malaysia bertambah.


“Selepas ini para pengkaji sejarah dan seterusnya penggubal kurikulum sejarah dalam sistem persekolahan Malaysia akan bertegas menyatakan fakta sejarah tersebut. Tuaran, berharap agar Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan mengambil langkah-langkah proaktif dalam hal ini,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page