Madius minta KKR selesaikan kesesakan di Tamparuli sementara pembinaan jambatan dilaksana
- nabalunews
- 53 minutes ago
- 2 min read

27 Februari 2026
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau meminta Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi keutamaan kepada penyelesaian sementara bagi menangani kesesakan lalu lintas di Pekan Tamparuli, khususnya ketika kerja pembinaan semula Jambatan Tamparuli sedang dilaksanakan.
Beliau membangkitkan perkara itu dalam soalan tambahan di Persidangan Dewan Rakyat kepada Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, dengan menyatakan bahawa kesesakan di laluan Tamparuli–Ranau kini semakin meruncing dan menjadi keluhan harian penduduk setempat.
“Kesesakan di jalan ini memang teruk. Inilah antara keluhan orang-orang di Tamparuli sekarang,” katanya dalam sesi Pertanyaan Lisan, di sini pada Khamis.
Madius turut mempersoalkan sama ada kajian trafik yang dibuat sebelum ini benar-benar mencerminkan keadaan semasa, memandangkan situasi di lapangan menunjukkan aliran trafik yang jauh lebih sesak pada setiap hari terutama pada hujung minggu.
Beliau menegaskan kerajaan wajar mempertimbangkan langkah interim bagi mengurangkan beban pengguna jalan raya.
“Saya ingin bertanya adakah rancangan kerajaan untuk penyelesaian sementara bagi menyelesaikan kesesakan jalan raya ini, terutama sekali ketika jambatan Tamparuli masih ditutup dan sedang dibina semula,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tamparuli.
Menjawab perkara itu, Ahmad Maslan memaklumkan bahawa kajian terdahulu dibuat pada 2024 dan berdasarkan data stesen bancian HR207 di Laluan Persekutuan 22, Tahap Perkhidmatan Jalan atau Level of Service (LOS) berada pada tahap A.
“LOS ini ada daripada A hingga F. F paling sibuk, A paling tidak sibuk. Berdasarkan semakan 2024, laluan tersebut (Jalan Tamparuli – Ranau) berada pada tahap LOS A,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau mengakui kajian baharu perlu dibuat bagi mendapatkan gambaran lebih tepat.
“Saya kira kajian baharu perlu dibuat supaya lebih terkini. Saya akan mengarahkan JKR untuk membuat kajian terkini tahun ini bagi menilai LOS sebenar di jalan yang berkaitan di Pekan Tamparuli,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa KKR akan berbincang dengan pihak trafik untuk mengenal pasti langkah seterusnya yang diambil termasuk penyelesaian jangka pendek.
Sehubungan itu, Madius berharap keutamaan segera dapat diberikan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya di Tamparuli sentiasa terpelihara sementara pembaikan jambatan baharu Tamparuli disiapkan.











