Madius persoal tindakan SPRM dalam menyelesaikan kes rasuah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Madius persoal tindakan SPRM dalam menyelesaikan kes rasuah


3 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) mempersoalkan masalah rasuah yang timbul dalam negara terutamanya dalam urustadbir Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Menurut Madius, lima jawatankuasa utama yang ditubuhkan dalam SPRM iaitu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, dan Panel Penilai Operasi yang melibatkan 54 individu keseluruhan telah menunjukkan kegagalan dalam menjalankan tugas.


“Dengan lima jawatankuasa tersebut sebenarnya telah meletakkan institusi ini sebagai satu institusi yang paling bebas di Malaysia berbanding dengan Biro Pencegahan Rasuah (BPR) sebelum ini.


“Namun, kenapa masih wujud pelbagai kepincangan dalam urustadbir SPRM?” soal Madius.


Beliau yang juga merupakan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata demikian semasa sesi ucapan perbahasan usul menjunjung kasih Titah Ucapan DiRaja dalam Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini, semalam.


Dalam pada itu, Madius turut meminta Perdana Menteri untuk menyatakan kekerapan lima jawatankuasa tersebut bermesyuarat sepanjang tahun 2021 dan perincian kepada mesyuarat-mesyuarat yang telah diadakan.


“Sebagai contoh, apa sudah jadi dengan kes Rasuah Jabatan Air Sabah? Kes Integriti Tan Sri Azam Baki dan sebagainya.


“Pernahkah mana-mana jawatankuasa tersebut memanggil Azam Baki memberi keterangan tentang percanggahan dalam kenyataan terkait Azam Baki?


“Saya meminta agar Perdana Menteri menyatakan berapa kalikah kelima-lima Jawatankuasa ini bermesyuarat sepanjang tahun 2021 dan adakah kes Azam Baki pernah dibincang oleh setiap jawatankuasa tersebut,” katanya lagi.

bottom of page