Mahkamah Tawau Penjara Dua Warga Asing Lima Bulan Kes Milik Minyak Masak Tanpa Kebenaran
- nabalunews
- 5 days ago
- 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns
6 Mac 2026
TAWAU: Dua lelaki dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas mengaku bersalah memiliki 170 kilogram minyak masak tanpa kebenaran sah di perairan Semporna, bulan lalu.
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya memerintahkan hukuman terhadap Felsing Abdul Murin dan Lichin Felsing berkuat kuasa mulai tarikh tangkapan, 28 Februari lalu. Kedua-dua tertuduh yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman.
Mahkamah turut memerintahkan minyak masak yang dirampas dijual dan hasilnya diserahkan kepada kerajaan, manakala sebuah bot pam serta enjin pam yang digunakan dalam kegiatan berkenaan dilucuthakkan.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana berurusan secara borong atau runcit barang kawalan tanpa lesen atau kebenaran Pengawal Bekalan.
Mereka ditahan kira-kira jam 4.40 petang di perairan antara Pulau Mataking dan Pulau Boheyan, Semporna, oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Cawangan KPDN Semporna, Satunlucy Lamioh @Lamidah, berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau sindiket yang cuba menyeleweng barang kawalan.
"Kestabilan bekalan dan kepentingan rakyat adalah keutamaan kami. Tindakan bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain akan dipergiatkan," katanya.















Comments