Mahkamah Tinggi KL arahkan Zahid Hamidi membela diri
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Mahkamah Tinggi KL arahkan Zahid Hamidi membela diri


24 Januari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi mengarahkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membela diri atas 47 pertuduhan rasuah membabitkan nilai jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi.


Menurut laporan Berita Harian, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie dalam semua tuduhan terhadap Ahmad Zahid.


Ahamd Zahid yang juga presiden Umno dan pengasas Yayasan Akalbudi memilih untuk membela diri melalui keterangan bersumpah dari kandang saksi dan akan mula membela diri sebagai saksi pertama pada 26 April ini.


Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbanga kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Manakala lapan tuduhan rasuah pula, tertuduh didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.


Ahmad Zahid juga berdepan dengan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 hingga 11 April 2018.

bottom of page