top of page

Majlis Media Malaysia Lantik Ahli Lembaga Pengasas

  • nabalunews
  • Jul 15, 2025
  • 2 min read

15 Julai 2025


KUALA LUMPUR: Majlis Media Malaysia (MMM) hari ini secara rasmi melantik ahli lembaga pengasasnya yang terdiri daripada wakil penerbit, profesional media serta kumpulan berkepentingan awam, termasuk ahli akademik dan wakil masyarakat sivil.


Menurut kenyataan lembaga pengasas, struktur MMM direka berlandaskan Akta Majlis Media Malaysia 2025 yang diluluskan Parlimen pada Februari lalu.


“Akta ini menetapkan bahawa sekurang-kurangnya 25 peratus daripada ahli lembaga perlu terdiri daripada wakil Sabah dan Sarawak.


“Selain itu, kepimpinan majlis juga perlu mencapai kesamarataan jantina, yang pertama seumpamanya di Malaysia,” menurut kenyataan itu.


Akta itu juga memperuntukkan kuasa kepada kerajaan untuk melantik sehingga dua orang wakil tambahan ke dalam lembaga berkenaan.


Bagi kategori pemilik media, mereka yang dilantik ialah Phyllis Wong (Utusan Borneo), James Sarda (Sabah Publishing House), Premesh Chandran (Malaysiakini) dan Ashwad Ismail (Astro Awani).


Manakala bagi profesional media ialah Teh Athira Yusof (Kesatuan Kebangsaan Wartawan), Radzi Razak (Gerakan Media Merdeka), Ronnie Teo (Persatuan Wartawan Bahagian Kuching) dan Muthameez Manan (Persatuan Media Tamil).


Turut dilantik sebagai wakil berkepentingan awam ialah Gayathry Venkiteswaran dari Universiti Nottingham Malaysia, Celine Lim (SAVE Rivers), Terence Ooi (Wiki Impact) dan Azmyl Yunor dari Universiti Sunway.


Lembaga pengasas turut memaklumkan dalam mesyuarat pertamanya, Premesh dilantik pengerusi interim sementara menunggu pemilihan penuh lembaga baharu menjelang akhir tahun ini.


Menurut kenyataan itu, permohonan untuk menjadi ahli majlis akan dibuka mulai awal Ogos dan ditutup pada akhir September 2025.


“Permohonan terbuka kepada pemilik media, profesional, individu serta organisasi yang terlibat dalam ekosistem media. Permohonan boleh dibuat melalui laman web rasmi di www.majlismedia.my dengan bayaran pendaftaran sebanyak RM10,” katanya.


Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama MMM dijadual berlangsung pada 7 November 2025, bagi memilih lembaga baharu serta membincangkan struktur yuran keahlian, kod etika industri, mekanisme aduan, belanjawan tahunan dan undang-undang kecil Majlis.


Majlis Media Malaysia ditubuhkan sebagai badan kawal selia kendiri bebas bagi memupuk amalan kewartawanan yang beretika dan bertanggungjawab, menetapkan kod etika industri media, serta mengawal selia etika dan kelakuan profesional ahli.


Dalam pada itu, ia juga memainkan peranan memperkasa pembangunan profesional dalam kalangan wartawan dan juga menyelenggara pangkalan data maklumat industri media.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page