Majlis Presiden PH gesa Peguam Negara letak jawatanMajlis Presiden PH gesa Peguam Negara letak jawatan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Majlis Presiden PH gesa Peguam Negara letak jawatan



22 Nov 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan amat terkejut dan kecewa dengan keputusan Peguam Negara yang membatalkan rayuan terhadap keputusan membebaskan Tengku Adnan Mansor, Ahli Parlimen Putrajaya, dari dakwaan kes rasuah melibatkan penerimaan RM2 juta dari seorang ahli perniagaan pada 2016.


Menurut kenyataan Majlis Presiden PH itu, tindakan membatalkan rayuan ini mewujudkan persepsi sangat buruk dan menghakis kepercayaan umum terhadap institusi Peguam Negara malah mencemarkan kredibilitinya dan kebebasannya untuk menjalankan tugas rasminya secara profesional.


Katanya, Majlis Presiden juga akan meneliti kemungkinan tindakan Peguam Negara ini melanggar Perjanjian Memorandum Persefahaman di antara Pakatan Harapan dan Kerajaan, khususnya Perkara 4 berhubung Kebebasan Institusi Kehakiman.


“Oleh itu, Majlis Presiden berpandangan keputusan Peguam Negara berhubung isu Tengku Adnan ini adalah salah dan mengecewakan.


“Kami menyedari bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa untuk memutuskan samada menarik balik rayuan tersebut atau tidak.


“Namun, di dalam kes ini yang melibatkan pertuduhan kewujudan unsur-unsur rasuah terhadap seorang Ahli Parlimen dan seorang bekas Menteri Persekutuan, rakyat menuntut agar rayuan kes tersebut didengar dan dihakimi sehinggalah segala process perundangan yang dibenarkan telah dilalui sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Majlis Presiden PH akan terus meneliti tindakan-tindakan seperti ini dan mempertimbang langkah- langkah yang akan diambil sehingga kedudukannya dipertikaikan dan kewibawaannya tercalar.


“Sekiranya Peguam Negara tidak dapat menjustifkasikan keputusannya maka beliau harus letak jawatan,” kata kenyataan itu.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Hj.Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Madius Tangau.



bottom of page