Malaysia ambil pendirian tegas isu Venezuela, Greenland dan Iran
- nabalunews
- 17 minutes ago
- 2 min read

20 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Malaysia mengambil pendirian yang jelas dan tegas namun tidak menjejaskan kepentingan negara dalam berdepan ketidaktentuan geopolitik dunia dikaitkan dengan Amerika Syarikat (AS) di Venezuela, Iran dan Greenland.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam isu perdagangan dengan Iran, hubungan sedia ada masih dikekalkan walaupun ketika AS mengumumkan untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas negara yang menjalankan perniagaan dengan Iran.
Dalam isu Venezuela pula, katanya Malaysia adalah antara negara yang mengambil pendirian paling tegas dan menyatakan pendirian secara jelas tidak bersetuju dengan tindakan yang melanggar prinsip undang-undang antarabangsa.
“Kita ini negara sederhana yang mempunyai kekuatan yang juga sangat sederhana. Sebab itu, dalam apa-apa tindakan seperti ini, kita ambil kira rundingan dengan teman, negara jiran dan juga negara - sahabat.
"Bukan soal kebimbangan peribadi tetapi kebimbangan kepada negara. Sebab itu jalur hubungan dengan Amerika Syarikat kita kekalkan, walaupun dipertikai oleh sesetengah pihak.
“Kita kena gunakan kebijaksanaan dalam hubungan antarabangsa. Jangan kita nampak terlalu lemah, tetapi jangan juga mengambil tindakan yang mungkin menjejaskan kepentingan negara," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH –Tebrau) mengenai pendirian Malaysia terhadap isu Venezuela, Greenland serta hubungan dengan Iran susulan tindakan Amerika Syarikat.
Mengulas isu Greenland, Perdana Menteri berkata Malaysia menyokong pendirian Eropah dan Denmark yang mengutamakan rundingan, namun menolak sebarang tindakan penaklukan terhadap negara berdaulat.
“Soal Greenland kita bersetuju dengan pendirian Eropah dan juga Denmark bahawa berunding tetapi untuk menakluki mana-mana negara yang bebas dan berdaulat, kita tidak bersetuju. Jadi, itu juga pendirian kita,” ujarnya.
Anwar menegaskan sebarang pendirian tegas Malaysia dalam isu-isu antarabangsa mencerminkan dasar luar negara yang bebas, berprinsip dan konsisten, meskipun berdepan tekanan daripada kuasa besar dunia.
Menurutnya, Malaysia akan terus mempertahankan kepentingan negara dengan mengambil pendekatan diplomasi, rundingan serta kerjasama antarabangsa demi kestabilan dan kedaulatan negara.


















Comments