Malaysia catat RM45.4 bilion jualan eksport tahun lalu
- nabalunews
- 10 minutes ago
- 1 min read

27 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya mencatat jualan eksport bernilai RM45.4 bilion sepanjang tahun lalu hasil strategi berdagang secara bebas dan mengamalkan sikap terbuka dalam memperluas pasaran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jualan eksport itu dijana daripada hubungan perdagangan antaranya dengan United Kingdom, Thailand, Russia, Itali, Perancis, Brazil, China, Korea, Ethiopia, Kenya dan Afrika Selatan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, tumpuan eksport melibatkan sektor gas cecair asli (LNG), minyak kelapa sawit, barangan elektrik dan elektronik (E&E) khususnya semikonduktor, aeroangkasa, perabot serta bahan-bahan lain.
"Malaysia juga berjaya menangani cabaran tidak menentu susulan beberapa langkah oleh Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan politik di peringkat global.
"Namun kita mampu, Alhamdulillah, kerana berjaya merekodkan jumlah perdagangan tertinggi dalam sejarah iaitu RM3.061 trilion, meningkat 6.3 peratus berbanding 2024,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) mengenai prestasi dan nilai perdagangan bagi 2025 serta hasil lawatan dan misi perdagangan Perdana Menteri ke luar negara sepanjang tempoh itu, yang menyumbang kepada peningkatan eksport Malaysia.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia turut mencatat nilai eksport tertinggi dalam sejarah sebanyak RM1.63 trilion iaitu meningkat 6.5 peratus berbanding 2024 melibatkan pasaran antaranya ASEAN, China, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU).
Selain itu, katanya, pendekatan perdagangan terbuka juga menyaksikan Malaysia berjaya menembusi 240 pasaran antarabangsa, termasuk pasaran baharu yang menunjukkan pertumbuhan ketara.
"Pasaran baharu termasuk mencatat peningkatan perdagangan 225.8 peratus, diikuti Yemen, Tanzania, Togo, Uzbekistan, Angola, Algeria, Nigeria, Puerto Rico, Kenya dan Maghribi.
"Kita juga mencatatkan lebihan dagangan yang meningkat 9.2 peratus, iaitu sebanyak RM151.80 bilion berbanding tahun sebelumnya," katanya.














