Malaysia dan Belanda jalin kerjasama erat dalam bidang pengawalan banjir, semikonduktor dan AI
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Malaysia dan Belanda jalin kerjasama erat dalam bidang pengawalan banjir, semikonduktor dan AI


1 Nov 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara akan mendapat bantuan kepakaran daripada Belanda untuk meningkatkan sistem tebatan banjir dalam usaha menangani masalah banjir yang berulang setiap tahun di negara ini.


Anwar berkata dengan adanya bantuan pakar dari Belanda, diharapkan dapat menurunkan kos yang melibatkan bilion ringgit setiap tahun untuk menguruskan bencana banjir.


Beliau berkata beliau telah menjelaskan kepada Perdana Menteri Belanda Mark Rutte tentang keperluan untuk membaiki pelbagai aspek di sungai-sungai di negara ini, terutamanya ketika menghadapi musim banjir sekarang ini, antara lain di Johor, Selangor dan Pahang.


"Saya juga beritahu beliau tentang perbelanjaan, contohnya baru-baru ini keseluruhan (kos pengurusan) masalah banjir mencapai RM15 bilion. Rutte kata dengan kepakaran dan teknologi baru, mungkin tidak perlukan kos tinggi," katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte di Seri Perdana di sini hari ini.


Ulas beiiau lagi, Perdana Menteri Belanda itu juga memberi jaminan akan menghantar pasukan pakar dalam bidang tersebut secepat mungkin.


Anwar berkata beliau telah mengarahkan Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir untuk mengambil tindakan susulan mengenai kerjasama itu termasuk mempercepatkan proses kedatangan pasukan pakar itu ke Malaysia.


Sementara itu, Anwar berkata Malaysia dan Belanda bersetuju untuk memperkukuhkan industri semikonduktor serta bidang digital dan kecerdasan buatan (AI) melibatkan kedua-dua negara.


"Beliau (Rutte) setuju, Belanda adalah antara negara yang ada polisi khas semikonduktor. Kita (Malaysia) ada polisi yang menggalakkan penyertaan swasta," katanya.


Dalam perkembangan lain, Anwar berkata Malaysia bersetuju untuk melaksanakan usaha penggalian dan pemulihan kapal-kapal karam lama di perairan negara termasuk kapal-kapal milik Belanda mengikut syarat yang ditetapkan.


Pada 2022, Belanda adalah rakan dagangan ke-14 terbesar Malaysia dan kedua terbesar di Kesatuan Eropah (EU) dengan jumlah dagangan RM48.04 bilion (US$10.93 bilion), meningkat 33.4 peratus berbanding RM36.01 bilion (US$8.68 bilion) pada 2021.


Belanda juga merupakan pengimport terbesar minyak sawit Malaysia dalam kalangan negara EU dengan jumlah 732,324.54 tan.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page