Malaysia gesa AS-Israel dan Iran henti tindakan provokatif, kembali berunding
- nabalunews
- Mar 1
- 1 min read

1 Mac 2026
KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa Israel, Amerika Syarikat (AS) dan Iran supaya menghentikan segala tindakan provokatif dan melancarkan gencatan senjata segera tanpa syarat susulan perkembangan terkini di rantau Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang tindakan bersifat provokatif hanya akan mencetuskan krisis lebih besar, menggugat kestabilan serantau dan berisiko mengheret lebih banyak negara ke dalam konflik yang sukar dibendung.
“Gencatan senjata yang segera dan tanpa syarat adalah keperluan mendesak susulan serangan Israel terhadap Iran yang kini mengheret Asia Barat ke ambang malapetaka.
“Malaysia dengan tegas menggesa Israel, Amerika Syarikat dan Iran agar menghentikan segala tindakan provokatif dan kembali kepada meja rundingan diplomasi dan dialog,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial beliau, hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan sedang memantau rapi perkembangan semasa dan akan terus mengambil segala langkah sewajarnya bagi memastikan kebajikan rakyat Malaysia sentiasa terpelihara.
Menurutnya, Kementerian Luar Malaysia melalui kedutaan Malaysia di negara terlibat telah diberikan mandat penuh untuk membantu rakyat Malaysia yang memerlukan.
“Setiap nyawa rakyat Malaysia amat berharga bagi saya, dan Kerajaan MADANI sedang memantau perkembangan dari semasa ke semasa serta mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan perlindungan dan kebajikan mereka sentiasa terjamin.
“Kepada Allah SWT kita berserah, semoga mereka sentiasa dilindungi, dipermudahkan urusan dan dipelihara daripada segala bahaya,” katanya.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan Tentera Pertahanan Israel (IDF) dengan kerjasama AS melancarkan serangan mengejut ke atas Iran, semalam, sekali gus mencetuskan letupan kuat di sekitar ibu kota Tehran.
Pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, kemudiannya dilaporkan terbunuh susulan serangan udara yang didakwa dilancarkan AS dan Israel, dengan kompleks kediamannya di Tehran dilaporkan menjadi sasaran utama operasi ketenteraan berkenaan.















Comments