Malaysia gesa Majlis Keselamatan PBB hadkan kuasa veto dalam Konflik Palestin dan Lubnan
nabalunews

26 September 2024
NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) digesa agar menghadkan penggunaan kuasa veto yang tidak terkawal, terutamanya dalam konflik yang melibatkan Palestin dan Lubnan.
Ini berikutan kebimbangan bahawa kuasa veto sering digunakan untuk menghalang resolusi yang bertujuan menegakkan undang-undang antarabangsa dan melindungi orang awam.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA), menyatakan bahawa kuasa veto tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha menegakkan keadilan dan hak asasi manusia.
"Di mana-mana sahaja, soalan yang sama bergema: Adakah PBB terlalu rosak untuk diperbaiki? Jawapannya adalah 'Tidak', kerana memang ada cara, dan hanya satu cara, untuk memperbaiki PBB. Kuasa veto mesti dihadkan. Ini yang perlu dilakukan. Bukan sahaja untuk menyelamatkan rakyat Gaza, tetapi juga untuk menyelamatkan Pertubuhan Bangsa Bersatu.
"Dunia sedang memerhati ketika Majlis Keselamatan bergelut untuk membebaskan diri dari kebuntuan, di mana satu suara boleh menggulingkan majoriti, mengabaikan prinsip-prinsip dalam Piagam PBB, dan menyokong pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berterusan" tegas beliau.
Beliau turut menyeru UNSC agar menyokong resolusi menamatkan pendudukan Israel di Palestin, satu langkah penting ke arah keadilan yang diusahakan oleh negara-negara anggota.
Minggu lalu, Perhimpunan Agung PBB secara majoriti meluluskan resolusi yang menggesa penamatan pendudukan tidak sah Israel dalam tempoh 12 bulan, dengan 124 negara menyokong, 14 menentang, dan 43 berkecuali.
Comments