top of page

Malaysia harap Kanada pertimbang semula pengecualian visa — PM

  • nabalunews
  • Jul 4
  • 1 min read

4 Julai 2025


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan harapan kepada kerajaan Kanada untuk mempertimbangkan semula dasar pengecualian visa kepada rakyat Malaysia.


"Ia selaras dengan layanan yang diberikan kepada negara-negara Komanwel lain demi memperkukuh hubungan antara rakyat kedua-dua negara dan memperluas pertukaran pelbagai hala," katanya dalam satu hantaran Facebook, hari ini.


Anwar ketika ini sedang mengadakan lawatan rasmi ke Paris, Perancis, menghubungi Perdana Menteri Kanada, Mark Carney untuk mengucapkan tahniah atas kemenangan Parti Liberal dalam Pilihan Raya Kanada baru-baru ini.


Pada masa kini, rakyat Malaysia diwajibkan mendapatkan visa untuk memasuki Kanada bagi tujuan pelancongan, pengajian atau pekerjaan.


Dalam perkembangan lain, Anwar turut menyatakan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan dua hala dengan Kanada dalam pelbagai bidang strategik termasuk perdagangan, pelaburan, tenaga bersih, transformasi digital dan teknologi baharu.


“Saya menyambut baik penglibatan berterusan PETRONAS dalam projek LNG Canada, yang menjadi simbol kukuh kerjasama tenaga antara kedua-dua negara serta berpotensi menjadi pemangkin kepada inisiatif hijau dan peralihan tenaga masa depan,” katanya.


Beliau berkata, sebagai negara anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Malaysia dan Kanada berkongsi tekad dalam memperjuangkan prinsip perdagangan bebas, terbuka dan berasaskan multilateralisme yang adil serta inklusif.


"Kami juga menegaskan kepentingan memperkukuh Perkongsian Strategik ASEAN-Kanada, dan berharap rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada dapat dimuktamadkan secepat mungkin demi manfaat bersama," katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page