top of page

Malaysia kecam serangan udara Israel ke atas hospital di Gaza

  • nabalunews
  • Aug 28, 2025
  • 1 min read

28 Ogos 2025


PUTRAJAYA: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Hospital Nasser di Khan Yunis, Gaza, pada Isnin lalu yang meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa termasuk anggota perubatan dan wartawan, selain mencederakan beberapa yang lain.


Kementerian Luar dalam kenyataan menegaskan tindakan menyasarkan hospital, petugas kemanusiaan dan wartawan adalah pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.


Ia termasuk Konvensyen Geneva Keempat dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang jelas melarang serangan ke atas fasiliti perubatan dan media.


“Tindakan ini merupakan jenayah perang dan tidak boleh dibiarkan tanpa dikenakan sebarang hukuman.


“Serangan yang menyasarkan wartawan bukan sahaja merupakan jenayah kejam terhadap nyawa tidak berdosa, malah sebagai serangan langsung terhadap kebebasan media,” menurut kenyataan itu.


Malaysia turut menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bertindak tegas menghentikan kekejaman Israel serta memastikan rejim itu dipertanggungjawabkan sepenuhnya.


"Malaysia juga menyeru usaha dilipatgandakan ke arah keamanan menyeluruh, adil dan berkekalan berasaskan hak rakyat Palestin, termasuk penubuhan sebuah negara Palestin merdeka dan berdaulat, berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara," tambah kenyataan itu.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page