top of page

Malaysia Komited Tangani Cabaran Perdagangan Global – Tengku Zafrul

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 1 min read

21 Mei 2025


KUALA LUMPUR: Malaysia kekal komited untuk menangani cabaran perdagangan global menerusi pendekatan rundingan dan dialog, bukan tindak balas, dalam menghadapi impak dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS).


Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan adalah mengukuhkan rantaian bekalan serta mempelbagaikan pasaran eksport.


“Selain itu, kita juga melaksanakan reformasi ekonomi melalui inisiatif seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk memastikan daya saing jangka panjang,” katanya dalam satu hantaran Facebook.


Tengku Zafrul berkata, Malaysia kini berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi global hasil pelaksanaan reformasi ekonomi dan industri sejak 2023.


“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2024 adalah 5.1 peratus, melebihi jangkaan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia,” katanya.


Menurutnya, pelaburan yang diluluskan pada tahun 2024 juga mencatat rekod tertinggi dalam sejarah negara, iaitu RM378.5 bilion, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap daya tahan dan potensi ekonomi Malaysia.


"Apa yang kita perlukan sekarang adalah kesungguhan dalam meneruskan polisi yang membina daya tahan industri dan syarikat-syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan global," katanya.


Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Tengku Zafrul berkata Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh kedudukan serantau dan memupuk hubungan ekonomi yang kukuh.

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page