Malaysia lonjak lapan anak tangga dalam IMD World Talent Ranking 2025
- nabalunews
- 4 minutes ago
- 2 min read

22 September 2025
PUTRAJAYA: Malaysia melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-25 dalam IMD World Talent Ranking 2025, pencapaian terbaik negara dalam tempoh lima tahun.
Di peringkat Asia-Pasifik, Malaysia berada di tangga kelima selepas Hong Kong, Singapura, Taiwan dan Australia.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, peningkatan itu mencerminkan pelaburan strategik negara dalam pendidikan, kesiapsiagaan kemahiran serta pengekalan bakat tempatan, menjadikan Malaysia antara destinasi utama profesional global.
“Kejayaan ini ialah hasil pendekatan holistik Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sebagai pemudah cara utama ekosistem bakat Malaysia yang menyelaras dasar tenaga kerja, inisiatif pembangunan kemahiran, program latihan industri serta kerjasama dengan industri dan akademia.
"Transformasi struktur KESUMA memberikan penekanan kepada pemerkasaan dasar, peningkatan kemahiran serta pemahiran semula agar tenaga kerja negara kekal kompetitif dan bersedia menghadapi perubahan pekerjaan baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sim berkata, bagi memperkukuh pembangunan kumpulan bakat masa depan, TalentCorp di bawah KESUMA menggerakkan Majlis MyMahir Future Skills Talent Council (FSTC) dan program Kolaborasi Industri-Akademia (IAC).
Menurutnya, inisiatif ini sejajar dengan amalan antarabangsa yang menekankan penyelarasan pembangunan kemahiran mengikut sektor, penglibatan majikan, serta integrasi kemahiran insaniah dan teknikal untuk memastikan graduan kekal relevan dengan keperluan industri.
Selain itu katanya, pelbagai program seperti YES! Rock the School, MyNext, Program Latihan Industri Berstruktur Nasional (MySIP), dan geran padanan latihan industri LiKES memperkukuh pendedahan awal pelajar terhadap kemahiran industri.
“KESUMA turut melaksanakan Kajian Impak AI, Digital dan Ekonomi Hijau, di samping menerbitkan Senarai Pekerjaan Kritikal (MyCOL) untuk memastikan pembangunan bakat selaras dengan keperluan industri.
“Malaysia juga memanfaatkan jaringan diaspora melalui Malaysia@Heart (MyHeart), serta menarik bakat global dengan inisiatif seperti Xpats Gateway, MYXpats Centre dan Residence Pass-Talent (RP-T),” ujarnya.
Dalam aspek keseimbangan kehidupan bekerja, Sim berkata, pindaan Akta Kerja 1955 (Seksyen 60P & 60Q) membolehkan pekerja mengurus masa dan lokasi kerja dengan lebih fleksibel.
Sementara itu, program Veteran MyWira dan Wanita MyWira memperkukuh peranan veteran ATM dan wanita dalam pasaran kerja, menyokong keterangkuman, kepelbagaian dan kesaksamaan di tempat kerja selaras dengan agenda ESG dan Rangka Ekonomi Madani.
“KESUMA membuktikan pendekatan bersepadu meliputi pendidikan, latihan, penyelidikan, kerjasama industri-akademia, pembangunan bakat global dan dasar tenaga kerja adalah kunci menjadikan Malaysia sebagai hub bakat serantau yang kompeten, adaptif, dan mampan, sekali gus memacu daya saing ekonomi negara di peringkat global,” katanya.