nabalunews
Malaysia Negara Tertinggi Di Asia Rekodkan Mangsa Scam Berulang
18 November 2024
KUALA LUMPUR : Malaysia menjadi negara tertinggi di Asia dari segi jumlah mangsa berulang bagi jenayah penipuan dalam talian (scam), dengan kadar insiden lebih 2.5 kali berlaku terhadap individu yang sama.
Ketua Kelestarian CelcomDigi Philip Ling berkata menurut kajian Asia Scam Report 2024 oleh Global Anti-Scam Alliance, ia diikuti dengan negara Hong Kong dan Thailand.
“Terdapat dua perkara yang merisaukan iaitu individu berulang kali menjadi mangsa scam dan mempunyai kemampuan rendah untuk membezakan jenayah berkaitan penipuan membabitkan Kecerdasan Buatan.
“Mangsa tidak belajar daripada kesilapan lampau. Ia amat merisaukan apabila mereka menjadi mangsa semula kerana tidak mempunyai kebolehan membezakan sumber…apabila mereka dihubungi pihak berkuasa, mereka tidak dapat membezakan sama ada pihak yang menghubungi itu palsu atau benar,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus Anti Scam ‘It’s a matter of when’ di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) di sini.
Sesi ini dihadiri lebih 100 peserta yang terdiri daripada petugas agensi di bawah Kementerian Komunikasi, antaranya Jabatan Penerangan, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Komuniti MADANI.
Sebelum ini Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan jenayah penipuan atas talian merupakan antara fokus utama kerajaan dalam memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk judi dalam talian, buli siber serta jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Untuk itu kerajaan berpendirian akan mengguna pakai kerangka kawal selia atau pelesenan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet berkuat kuasa 1 Januari depan.
Comments