Malaysia perkukuh peranan dalam pemulihan semula Gaza
- nabalunews
- 5 hours ago
- 1 min read

11 Julai 2025
PUTRAJAYA: Malaysia kekal teguh mendukung perjuangan rakyat Palestin dan terus memainkan peranan penting dalam usaha pemulihan serta pembinaan semula Gaza.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau turut menyambut baik kesediaan Jepun dan Palestin untuk bersama Malaysia menjadi pengerusi bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Persidangan Kerjasama Antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin Keempat (CEAPAD IV).
CEAPAD merupakan platform serantau yang dimulakan oleh Jepun pada 2013 untuk menyokong usaha pembinaan negara Palestin dengan memanfaatkan sumber, kepakaran dan pengalaman pembangunan ekonomi negara-negara Asia Timur.
“Ia merupakan satu platform kerjasama serantau penting yang akan dirumus menerusi Pelan Tindakan Kuala Lumpur tidak lama lagi.
“Tumpuan kita jelas iaitu respons kemanusiaan yang menyeluruh, pemulihan awal, pembangunan ekonomi serta pembinaan keupayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menerima kunjungan hormat Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa Palestin, Dr Estephan Salameh serta wakil Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) Natalie Boucly, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia turut bertekad untuk menyelaras usaha bersama dalam pelan pembinaan semula Gaza yang diterajui Mesir dengan sokongan daripada Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Selain itu katanya, perbincangan berhubung peranan UNRWA dalam misi antarabangsa turut dibangkitkan.
“Tindakan barbarik rejim Israel yang mengharamkan UNRWA merupakan serangan terbuka terhadap badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan harus dikecam sekeras-kerasnya,” katanya.
UNRWA, merupakan agensi yang memberi pendidikan, bantuan kesihatan dan kemanusian kepada jutaan rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Lebanon dan Syria.
Comments