Malaysia perlu tingkatkan pengeluaran produk hijau getah – LGM
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Malaysia perlu tingkatkan pengeluaran produk hijau getah – LGM


29 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memanfaatkan kedudukannya sebagai peneraju pengeluaran sarung tangan getah dunia dengan menghasilkan lebih banyak tayar mesra alam dan produk hijau getah untuk kekal maju serta mendahului bagi tempoh jangka panjang.


Ini adalah antara cadangan yang dikemukakan oleh Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM) Datuk Dr Zairossani Mohd Nor dalam program ‘The Brief’ Bernama TV yang disiarkan baru-baru ini.


Beliau berkata, LGM dan agensi lain berkaitan juga perlu menyokong industri bagi memastikan Malaysia dapat mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pengeluaran sarung tangan getah, lateks dan produk kejuruteraan getah.


Tambah Dr Zairossani, bersandarkan kekuatan itu, Malaysia berupaya terus mendahului bukan hanya dari segi pengeluaran produk tinggi getah dengan nilai tambah tetapi juga produk mampan, sekali gus memastikan kelangsungan industri tersebut.


Beliau turut menyentuh impak daripada faktor seperti ketegangan geopolitik Rusia-Ukraine, tekanan kos tenaga, kenaikan kadar faedah, keadaan kewangan yang diperketat di kebanyakan rantau selain gangguan rantaian bekalan yang memberi cabaran besar dan menjadikan 2023 sebagai tahun sukar bagi industri tersebut.


Bagaimanapun, beliau optimis bahawa industri terbabit akan mempamerkan prestasi lebih positif berbanding tempoh sebelum pandemik dengan mencatat pertumbuhan lebih baik bagi tahun ini berbanding 2022.


Beliau juga berkongsi jaminan bahawa LGM akan terus memenuhi matlamat utama bagi membantu pembangunan serta pemodenan industri getah dengan memastikan aspek kemampanan dan daya saing, meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan pengeluaran bahan mentah, mempertingkat nilai eksport dan penghasilan produk serta perkhidmatan nilai tambah.



bottom of page