Malaysia Sasar Hasilkan UAV Tempatan - TPM Ahmad Zahid
11 September 2024
SHANGHAI : Malaysia memantapkan usaha bagi meneroka teknologi pesawat tanpa pemandu (UAV) melalui kerjasama dengan China, termasuk pertukaran dan perkongsian kepakaran serta teknologi dalam bidang tersebut.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama antara MARA Aerospace & Technologies Sdn Bhd dan Honeycomb Aerospace Technologies (Beijing) Co Ltd akan membolehkan Malaysia menghasilkan teknologi itu.
Honeycomb Aerospace Technologies (Beijing) Co Ltd adalah syarikat ketiga terbesar dalam teknologi pesawat tanpa pemandu (UAV) di China.
Ahmad Zahid berkata teknologi itu banyak digunakan dalam bidang pertanian dan kawasan sempadan, lapor Bernama.
Sehubungan itu katanya kerjasama itu membolehkan Malaysia meneroka dan menghasilkan teknologi UAV bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Sebagai permulaan, syarikat ini akan memindahkan teknologi ini kepada University Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) di Sepang untuk melatih pelajar dalam pembuatan UAV selain akan mulakan pemasangan pertama UAV pada bulan depan dengan sasaran penghasilan awal sebanyak 3,000 unit setahun.
“Pada tahun hadapan, syarikat ini akan melabur RM100 juta untuk membuka premis kekal bagi melatih pelajar dalam bidang TVET,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) berkenaan di bandar itu di sini, hari ini.
Comments