nabalunews
Malaysia sedia platform progresif sepanjang kepengerusian ASEAN 2025
22 November 2024
VIENTIANE: Malaysia bertekad menjadikan rantau ini bermakna dengan menyediakan platform perbincangan pertahanan yang progresif, konstruktif, dan terbuka sepanjang tempoh kepengerusiannya dalam ASEAN.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha itu akan memastikan kesiapsiagaan ASEAN dalam menghadapi cabaran geopolitik, keselamatan, dan pertahanan yang semakin kompleks di peringkat global.
"Selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia bertekad untuk melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih efektif, sekaligus memelihara kestabilan dan keselamatan serantau," katanya dalam satu kenyataan semasa menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Ke-18 dan ADMM-Plus Ke-11 di Vientiane, Laos.
Beliau turut menjelaskan bahawa Malaysia akan meneruskan visi kepengerusian dengan tema "ASEAN Unity for Security and Prosperity" demi membawa manfaat kepada komuniti negara anggota dan kesejahteraan serantau.
“Tahun 2025 menjadi tahun yang begitu bermakna buat Malaysia. Bukan sahaja kerana Malaysia akan mempengerusikan ASEAN, bahkan ia merupakan ulang tahun ke-10 penubuhan Komuniti ASEAN dan Malaysia akan melancarkan Visi Komuniti ASEAN 2045,” tambahnya.
Pada akhir mesyuarat di Laos, kepengerusian ADMM dan ADMM-Plus secara rasmi diserahkan kepada Malaysia, disaksikan ketua delegasi setiap negara anggota ASEAN.
Malaysia sebelum ini telah memegang kepengerusian ASEAN pada tahun 1977, 1997, 2005, dan 2015, yang menyaksikan peranannya dalam memperkukuh kerjasama serantau serta meningkatkan integrasi ekonomi ASEAN.
Comentarios