Malaysia seru Thailand–Kemboja segera reda ketegangan di sempadan
- nabalunews
- 16 minutes ago
- 1 min read

8 Disember 2025
KUALA LUMPUR: Malaysia menyeru semua pihak mengambil langkah segera bagi meredakan ketegangan terbaharu di sempadan Thailand-Kemboja serta mengelakkan insiden boleh menjejaskan usaha perdamaian yang dicapai sebelum ini.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kerajaan memandang serius perkembangan situasi di kawasan sempadan berkenaan sambil menegaskan bahawa keamanan, kestabilan dan kesejahteraan serantau kekal sebagai keutamaan utama Malaysia.
Menurutnya, Malaysia mengiktiraf komitmen kedua-dua negara itu melalui Perjanjian Gencatan Senjata pada 28 Julai, Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) pada 7 Ogos serta Perjanjian Damai KL yang dimeterai 26 Oktober 2025.
“Dalam semangat persefahaman serantau dan kepatuhan komitmen terdahulu, Malaysia menyeru semua pihak kembali merujuk serta mematuhi Para 7 Perjanjian Gencatan Senjata bertarikh 28 Julai, yang menyatakan:
“Sekiranya berlaku konflik bersenjata, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, kedua-dua pihak mesti segera berunding di peringkat tempatan melalui mekanisme dua hala sedia ada bagi mengelakkan situasi di sepanjang sempadan menjadi semakin tegang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad berkata, Malaysia yakin keamanan dapat dipertahankan melalui dialog berterusan, langkah diplomatik yang konstruktif serta penghormatan terhadap semua mekanisme dua hala sedia ada.
“Melalui pendekatan ini, keamanan dan kestabilan serantau dapat dikekalkan demi kepentingan bersama,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Thailand pada Isnin melancarkan serangan udara ke atas Kemboja selepas pertempuran baharu tercetus di sempadan dua negara itu.
Kedua-dua negara dilaporkan saling menuduh pihak lawan memulakan serangan pada awal pagi Isnin selepas beberapa minggu ketegangan meningkat, termasuk keputusan Thailand menggantung pelaksanaan perjanjian gencatan senjata yang dicapai sebelum ini.


















Comments