Malaysia tangga ke-13 negara paling selamat
- nabalunews
- Jul 6
- 1 min read

6 Julai 2025
KUALA LUMPUR: Malaysia kekal memperkukuh kedudukannya sebagai antara negara paling selamat untuk seluruh dunia apabila berada di tangga ke-13 dalam Indeks Keamanan Global (Global Peace Index) 2025.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pencapaian itu merupakan pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha berterusan Kerajaan Madani dalam memperkukuh keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, kedudukan itu turut mencerminkan kecekapan agensi-agensi keselamatan di bawah KDN serta sokongan seluruh rakyat yang cintakan keamanan.
“Sebagai kementerian utama yang menerajui agenda keselamatan negara, KDN komited memastikan reformasi Madani terus dilaksana secara menyeluruh dan berkesan.
“Setiap inci usaha ini adalah demi menjadikan Malaysia sebuah negara yang dihormati, diyakini dan selamat untuk semua,” menurut kenyataan itu.
KDN turut menegaskan keamanan negara tidak hadir dengan sendiri, sebaliknya merupakan hasil kerja kuat, keberanian serta reformasi yang dilaksanakan secara konsisten oleh kerajaan bersama agensi keselamatan dan seluruh rakyat.
Indeks Keamanan Global diterbitkan setiap tahun sebagai penanda aras tahap keselamatan dan ketenteraman di peringkat antarabangsa melibatkan 163 negara di seluruh dunia.
Sementara itu, semakan terhadap laporan GPI 2025 dikeluarkan firma Institute for Economics & Peace menunjukkan Malaysia mencatatkan skor GPI sebanyak 1.469.
Tiga aspek utama diambil dalam mengukur tahap keamanan global termasuklah keselamatan dan sekuriti, konflik yang berterusan, dan tahap militarisasi.
Laporan turut menyenaraikan Iceland berada di tangga pertama negara paling selamat di dunia, manakala Ireland dan New Zealand masing-masing berada di tangga kedua dan ketiga.
Comments