Malaysia tawar dua biasiswa kepada pelajar Peru

14 November 2024
LIMA (Peru): Malaysia menawarkan dua biasiswa kepada pelajar dari Peru untuk melanjutkan pengajian di negara ini pada tahun depan.
Dalam kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan memperkukuhkan kerjasama antara institusi pendidikan dan program latihan.
Mereka melihat peluang biasiswa ini sebagai langkah signifikan untuk mempererat hubungan dua hala dalam bidang pendidikan, dengan harapan ia dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama akademik dan latihan profesional di masa hadapan.
"Perkara ini termasuk menerusi pertukaran biasiswa, pengikitarafan kelayakan, perkongsian pakar dan bertukar-tukar pengetahuan dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama," kata dua pemimpin berkenaan pada Rabu, lapor Bernama.
Sebelum itu, Anwar dan Dina Ercilia mengadakan pertemuan dua hala di Istana Kerajaan di sini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas penghormatan dianugerahkan Order of the Sun of Peru atau "El Sol del Peru", darjah “Grand Cross” oleh Presiden Peru.
Pertemuan dengan Dina Ercilia itu ialah susulan perjumpaan pertama kedua-dua pemimpin berkenaan di luar Minggu Pemimpin Ekonomi APEC di San Francisco, Amerika Syarikat pada November 2023.
Anwar tiba di sini pada 12 November yang menandakan lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke negara Amerika Latin itu sejak menyandang jawatan berkenaan pada November 2022.
Lawatan Perdana Menteri ke Peru, termasuk penyertaan beliau dalam Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-31 dari 14 hingga 16 Nov, dijangka memperkukuhkan hubungan dua hala antara dua negara.
Peru, sebuah negara di barat Amerika Selatan, bersempadan dengan Ecuador dan Colombia di utara dan Brazil di timur.
Lima, ibu negara Peru dengan populasi 11.36 juta, menjadi tuan rumah mesyuarat APEC buat kali ketiga selepas 2008 dan 2016.
Comments