Mampukah kerajaan persekutuan bertahan?
top of page
  • Farah Salim

Mampukah Kerajaan Persekutuan bertahan?



3 Feb 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Perang mulut berterusan antara para pemimpin Umno dan Bersatu dikhuatiri boleh merengangkan ikatan gabungan pelbagai parti dalam kerajaan persekutuan, sekaligus meletakkan kerajaan persekutuan di ambang kejatuhan.


Persoalan itu mungkin timbul apabila terdapat pelbagai isu dibangkitkan para pemimpin berkenaan.


Baru-baru ini, Bekas Perdana Menteri dari parti Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa Bersatu mengkhianati Umno semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2020.


“Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon untuk melawan Barisan Nasional (BN) di 17 kerusi DUN dalam PRN Sabah. PN juga meletakkan calon bebas di enam kawasan DUN yang ditanding BN untuk memecah undi kita.


“Sebab itu, Umno rasa dikhianat. Umno terpaksa melepaskan banyak kerusi tradisional BN yang mempunyai peluang tertinggi untuk menang kepada PPBM (Bersatu) sebagai sebahagian rundingan akan diberi jawatan Ketua Menteri sekiranya gabungan kita menang,” kata Najib menerusi Facebooknya.



Bagi menjawab dakwaan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN, beliau telah mempengerusikan beberapa mesyuarat yang dihadiri oleh pimpinan PN, BN dan PBS untuk menetapkan pembahagian kerusi PRN Sabah bagi mengelak pertembungan sesama sendiri.


“Tetapi BN kemudiannya menambah jumlah kerusi yang hendak ditandingi dan ini menyebabkan berlaku pertembungan dengan PN di beberapa tempat.


“Di pihak PN, kerusi yang terlibat adalah kerusi-kerusi yang ditandingi oleh Star bukan Bersatu. Di beberapa tempat berlaku pertembungan antara BN dan PBS. PBS juga meletakkan calon-calon di kerusi-kerusi yang ditandingi oleh Star menyebabkan berlaku pertembungan antara PBS dan PN.


“Melihat keadaan ini, saya telah pergi ke Kota Kinabalu sebelum hari penamaan calon untuk melakukan rundingan saat akhir bagi mengelak pertembungan sesama parti-parti PN, BN dan PBS. Saya mempengerusikan satu mesyuarat yang dihadiri oleh wakil-wakil parti PN, BN dan PBS.


“Malangnya, mesyuarat ini gagal mencapai kata sepakat kerana masing-masing bertegas untuk meletakkan calon di kerusi-kerusi yang ditandingi oleh parti-parti rakan yang lain.


“Bersatu adalah satu-satunya parti yang tidak meletakkan calon di kerusi-kerusi yang ditandingi oleh rakan-rakan dalam PN, BN dan PBS,” katanya menerusi facebooknya, hari ini.


Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Najib di Facebooknya yang mendakwa pengkhianatan Bersatu dalam PRN Sabah menjadi punca Muafakat Nasional gagal.


Muhyiddin berkata, beliau tidak faham dengan tuduhan Najib bahawa Bersatu mengkhianati Umno dalam PRN Sabah dengan meletakkan calon menentang Umno dan itu menjadi punca Muafakat Nasional gagal.


“Mengenai calon Ketua Menteri (KM) Sabah, saya telah menyatakan kepada Dato' Seri Zahid Hamidi, Presiden Umno supaya menamakan calon KM Sabah daripada Umno. Tetapi dia tidak menamakan sesiapa pun sehinggalah kempen PRN Sabah berakhir.


“Kerana itu saya telah menamakan Datuk Hajiji Noor sebagai calon KM Sabah daripada PN sekiranya PN memenangi jumlah kerusi yang terbesar dalam kalangan parti-parti yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya dan menambah pencalonan itu dipersetujui oleh Adun-Adun GRS termasuk Umno.


Dalam PRN Sabah, PN menang 17 kerusi, BN 14 kerusi dan PBS 7 kerusi. Ini menjadikan PN sebagai parti yang memenangi jumlah kerusi terbanyak dalam kalangan parti-parti GRS.


“Dato' Seri Najib jangan memutarbelitkan fakta. Apa yang berlaku dalam PRN Sabah bukanlah sebab Muafakat Nasional gagal.


“Saya fikir Dato' Seri Najib elok ambil masa memuhasabah diri. Tak usahlah bermain politik jelik. Anda telah didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah yang berat. Sepatutnya ada sedikit rasa malu,” kata Muhyiddin.


Muhyiddin berkata, Bersatu telah membuat keputusan untuk tidak menyertai Muafakat Nasional.


“Umno pun telah membuat keputusan dalam Perhimpunan Agungnya untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu. Jadi apa lagi yang hendak diungkit? katanya.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page