- nabalunews
Maritim Malaysia tahan bot, ubah suai tangki minyak untuk membawa muatan lebih
13 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan menahan sebuah bot kargo tempatan yang disyaki membawa barang kawalan tanpa dokumen yang sah di perairan Sandakan, semalam.
Turut ditahan, dua lelaki warga tempatan berusia 40 dan 50 tahun kerana gagal mengemukakan surat kebenaran atau dokumen yang sah untuk membawa barang kawalan tersebut.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, penahanan itu dibuat semasa OP PLUTO TIMUR / OP KHAS CEGAH PATI (OCP) dan OP TIRIS yang dilaksanakan Maritim Malaysia yang mana telah berjaya mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan jam 9.50 pagi semalam di kedudukan 1.2 batu nautika timur laut Pulau Berhala, Sandakan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot itu telah melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen iaitu menambah ruangan dan mengubah suai tangki simpanan minyak.
Manakala pemeriksaan lanjut di bot itu menemui barang kawalan bersubsidi disyaki minyak diesel dianggarkan berjumlah 2,200 liter yang disimpan di dalam tangki minyak yang telah diubah suai.
Nilai rampasan termasuk barang kawalan dan bot dianggarkan berjumlah lebih RM54,000.
Kesemua rampasan kemudian dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002 kerana melanggar syarat sah lesen dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa dokumen yang sah.
Comments