top of page
  • Wartawan Nabalu News

Masalah air di Sabah tanggungjawab kerajaan negeri


23 November 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Masalah air di Sabah termasuk di kawasan luar bandar bukan tanggungjawab Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Malaysia tetapi tanggungjawab kerajaan negeri, kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad.


Beliau berkata, pada secara dasarnya penyediaan bekalan air bersih dan terawat adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Air Negeri.


Katanya, ia melibatkan penyediaan sumber air, pembinaan paip utama, pembinaan loji rawatan air serta pengoperasian dan penyelenggaraan.


“Peranan dan matlamat KPLB adalah membantu mempercepatkan liputan dan merapatkan jurang bekalan air bersih dan terawat ke kawasan luar bandar melalui penyambungan paip retikulasi dari paip utama ke rumah-rumah atau akaun baharu di kawasan luar bandar yang belum mendapat bekalan air bersih dan terawatt,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis hari ini terhadap pertanyaan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) dalam Persidangan Dewan Rakyat, di sini.


Sehubungan itu Abdul Rahman berkata, kementerian mencadangkan masalah ketidakcukupan sumber air dan masalah non revenue water dibawa dan dibincangkan bersama Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Air Negeri.


Terdahulu pada persidangan yang sama 18 November lalu, Madius memohon penjelasan daripada KPLB langkah penyelesaian menyeluruh terhadap masalah bekalan air di Sabah, terutamanya di kawasan luar bandar.



Comments


bottom of page