Masalah ekonomi antara faktor penderaan seksual kanak-kanak – JKM
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Masalah ekonomi antara faktor penderaan seksual kanak-kanak – JKM


29 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Penderaan seksual merupakan bentuk penderaan yang paling kerap dialami oleh kanak-kanak di negara ini, menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM Wan Noraidah Wan Mohd Zain berkata, statistik JKM menunjukkan sebanyak 1,168 kes penderaan seksual kanak-kanak dilaporkan pada 2022.


Beliau berkata, faktor utama yang menyumbang kepada penderaan kanak-kanak adalah masalah ekonomi yang dihadapi oleh ibu bapa atau penjaga.


“Masalah ekonomi memberi tekanan kepada ibu bapa dan mereka melampiaskan kemarahan atau kekecewaan mereka kepada kanak-kanak. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana kanak-kanak adalah golongan yang lemah dan memerlukan perlindungan,” katanya dalam program Pantau Kos Sara Hidup Astro AWANI kelmarin.


Beliau menasihatkan ibu bapa supaya mendidik anak-anak dengan cara yang betul dan tidak mendera mereka secara fizikal atau emosi.


Ujar beliau, jika anak-anak melakukan kesalahan, ibu bapa boleh menghukum mereka tetapi tidak sampai meninggalkan kesan kecederaan atau trauma. Ibu bapa juga perlu memberitahu anak-anak sebab-sebab mereka dihukum supaya mereka faham dan tidak mengulangi kesalahan.


Wan Noraidah juga menggesa masyarakat umum untuk melapor kepada pihak berkuasa jika terdapat kes penderaan kanak-kanak di sekeliling mereka.


Sementara itu, Pakar Psikologi Kanak-Kanak dari Universiti SEGi Profesor Datin Dr Mariani Md Nor berkata, perubahan ekosistem sosial juga antara faktor yang mempengaruhi kes penderaan kanak-kanak.


Beliau berkata, faktor-faktor seperti perubahan infrastruktur, status sosioekonomi dan geoekonomi boleh menimbulkan tekanan atau konflik dalam keluarga dan membawa kepada penderaan kanak-kanak.


“Kes penderaan kanak-kanak berlaku dalam semua lapisan masyarakat termasuk keluarga, B40, M40 dan T20. Kita tidak boleh mengatakan hanya golongan tertentu sahaja yang terlibat. Kos sara hidup juga memainkan peranan penting kerana ia menentukan tahap kebahagiaan dan keselesaan keluarga,” katanya.


Tegas beliau, kesan penderaan kanak-kanak boleh berpanjangan dan merosakkan perkembangan mental dan fizikal mereka.


Kanak-kanak yang didera berisiko mengalami Kecelaruan Tekanan Pasca Trauma (PTSD), terbantut perkembangan, kurang keyakinan diri dan bersikap negatif terhadap persekitaran. Mereka memerlukan rawatan psikologi untuk pulih dari trauma yang dialami.

bottom of page