top of page

Mata pelajaran Pendidikan Karakter diperkenal tahun depan – Fadhlina

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 2 min read

ree

16 Oktober 2025


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan mata pelajaran baharu iaitu Pendidikan Karakter bermula tahun depan.


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata subjek baharu itu akan menjadi tunjang kepada Kurikulum Persekolahan 2027.


Katanya, KPM kini sedang membuat persiapan bagi pelaksanaan kurikulum baharu itu, selain pada masa sama akan terus memberi penekanan kepada aspek nilai, akhlak dan peribadi yang terkandung dalam kurikulum sedia ada.


"Bagi pengkhususan kurikulum baharu ini, kita meletakkan bahawa antara perkara yang paling penting adalah terkait rapat dengan Pendidikan Karakter ini. Jadi, bermula tahun depan, kurikulum ini akan dimulakan terlebih dahulu oleh pra sekolah.


“Pendekatan Pendidikan Karakter ini akan menjadi tunjang yang akan terus diberikan perhatian penuh berkaitan dengan apa yang dihasratkan seluruh warga pendidikan, terkait rapat dengan pendidikan karakter," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan tambahan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai langkah KPM dalam menilai semua kurikulum sedia ada supaya lebih menekankan pembinaan sahsiah, jati diri, akhlak, iman dan integriti.


Sementara itu, mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam melibatkan perkara negatif berkait sistem pendidikan negara ‘disimpan di bawah karpet’, Fadhlina menjelaskan ia tidak bermaksud kes yang berlaku di sekolah disembunyikan.


“Apa yang beliau tegaskan adalah terdapat insiden-insiden di sekolah yang sebenarnya telah diketahui atau dimaklumkan kepada pihak berkaitan sama ada guru, pentadbir, guru kaunseling, Pejabat Pendidikan Daerah atau Jabatan Pendidikan Negeri.


“Namun, pada ketika itu dianggap sebagai kes kecil ataupun tidak serius atau bersifat sementara. Akibat persepsi itu, tindakan intervensi yang diambil mungkin bersifat ringan dan tidak menyeluruh, menyebabkan sebahagian kes berlarutan sehingga menimbulkan implikasi yang lebih besar,” ujarnya.


Justeru katanya, KPM kini menekankan pelaksanaan pendekatan lebih tegas, sistematik dan berasaskan prosedur yang jelas bagi memastikan setiap insiden di sekolah ditangani dengan segera, profesional, dan tanpa kompromi terhadap keselamatan serta kebajikan murid.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page