Matriculation English Immersion Programme (MEIP) Perkukuh Penguasaan Bahasa Inggeris Pelajar Kolej Matrikulasi Labuan
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

23 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Matriculation English Immersion Programme (MEIP) kepada seramai 36 pelajar Kolej Matrikulasi Labuan (KML), baru-baru ini.
Program tersebut bertujuan memperkukuh kemahiran bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar KML yang bakal menduduki peperiksaan Malaysian University English Test (MUET) melalui pendekatan pembelajaran yang menyeluruh dan interaktif.
Timbalan Pengarah Kolej Matrikulasi Labuan, Syahmun Yahaya berkata aktiviti seumpama itu perlu ditekankan kerana ia penting dalam membina keyakinan pelajar menggunakan Bahasa Inggeris dalam situasi sebenar.

“Melalui program seperti ini, pelajar bukan sahaja dapat berinteraksi dengan fasilitator universiti, tetapi turut berpeluang mempraktikkannya secara aktif dalam aktiviti kumpulan dan perbincangan.
“Pendekatan ini membantu melahirkan pelajar yang lebih berani dan fasih menggunakan bahasa Inggeris,” katanya.
Syahmun turut menyatakan bahawa penguasaan bahasa Inggeris amat penting bagi membuka lebih banyak peluang dalam bidang akademik dan kerjaya sejajar dengan keperluan global masa ini.
“Bahasa Inggeris merupakan kunci kepada peluang yang lebih luas, sama ada dalam bidang akademik mahupun kerjaya.
“Semua pelajar perlu berusaha menggunakan bahasa Inggeris dalam komunikasi harian bagi membina keyakinan dan kemahiran yang berkesan,” tambahnya.
Program yang berlangsung selama tiga hari tersebut disertai oleh sembilan fasilitator UMS yang terdiri daripada mahasiswa dan pensyarah FPPS.
Peserta program merupakan para pelajar yang berada pada tahap kecekapan CEFR B1, selaras dengan ketetapan Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM).
Turut hadir dalam program berkenaan ialah Ketua Program Pendidikan TESL, Dr. Megawati Soekarno; Ketua Unit Bahasa Inggeris, Atlas Besik Niyo, dan penyelaras program, Zaherah Abdul Rahim.
Comments