MCMC buka rundingan awam perkukuh Pelan Keselamatan Dalam Talian
- nabalunews
- 24 minutes ago
- 1 min read

12 Februari 2026
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memulakan rundingan awam berhubung cadangan kerangka kawal selia Pelan Keselamatan Dalam Talian di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).
MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, rundingan berkenaan melibatkan draf Kod Pengurangan Risiko serta Kod Perlindungan Kanak-Kanak, yang bertujuan memperkukuh keselamatan dalam talian, khususnya bagi kanak-kanak, keluarga dan golongan rentan.
“Kerangka kawal selia dan draf kod tersebut menetapkan keperluan yang jelas kepada penyedia perkhidmatan untuk mengambil langkah munasabah dan berkesan bagi mengurangkan kemudaratan dalam talian secara praktikal.
“Melalui rundingan awam ini, MCMC membuka ruang kepada orang awam untuk bersama-sama membentuk ekosistem dalam talian yang lebih selamat serta menilai keberkesanan dan kebolehlaksanaan langkah yang dicadangkan,” katanya.
Orang awam, pemain industri, organisasi masyarakat sivil dan pihak berkepentingan dialu-alukan untuk meneliti dokumen rundingan serta mengemukakan pandangan dan menghantar maklum balas bertulis, secara fizikal atau elektronik, selewat-lewatnya 5 petang, 13 Mac 2026.
Maklumat lanjut kepada dokumen rundingan awam mengenai cadangan kerangka kawal selia bagi Pelan Keselamatan Dalam Talian boleh diperolehi di pautan https://mcmc.gov.my/en/onsa/media/announcements/publicconsultation-on-the-online-safety-plan.
Manakala bagi Draf Kod Pengurangan Risiko dan Kod Perlindungan Kanak-Kanak, di https://mcmc.gov.my/en/onsa/media/announcements/publicconsultation-on-the-codes-of-the-duties-und.














