MCMC gesa henti sebar gambar, video kes tikam pelajar
- nabalunews
- Oct 15
- 1 min read

15 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa semua pihak tidak menyebarkan sebarang kandungan di media sosial berhubung kejadian pelajar perempuan maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, semalam.
MCMC dalam kenyataan pada Rabu berkata, semua pihak diminta bertindak dengan tanggungjawab dan tidak berkongsi, menghantar semula atau memuat naik sebarang kandungan, termasuk gambar atau video, yang memaparkan mangsa, pelajar lain, atau lokasi kejadian.
“Penyebaran imej atau rakaman sedemikian bukan sahaja melanggar privasi dan maruah keluarga, tetapi juga boleh menjejaskan siasatan polis.
"Sekiranya kandungan sedemikian telah dimuat naik, orang ramai dinasihatkan supaya segera memadamkannya,” katanya.
Agensi itu menegaskan tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang mengedarkan kandungan sedemikian mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
MCMC turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut dalam insiden tragis terbabit.
Semalam media melaporkan, pelajar lelaki berusia 14 tahun dipercayai menikam mangsa sehingga mati di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat dilaporkan berkata, mangsa cedera ditikam di bahagian badan dengan beberapa tikaman dipercayai menggunakan senjata tajam.


















Comments