MCMC kuat kuasa ONSA, tingkatkan keselamatan dalam talian
- nabalunews
- Jan 1
- 1 min read

1 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuat kuasa hari ini menggariskan kerangka perundangan bagi meningkatkan keselamatan dalam talian serta memperkukuh perlindungan terhadap pengguna khususnya kanak-kanak dan keluarga.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, ONSA menetapkan tanggungjawab dan kewajipan ke atas pemberi perkhidmatan berlesen untuk menangani kemudaratan dalam talian.
Ia termasuk pelaksanaan langkah keselamatan berdasarkan tahap risiko, perlindungan khusus kepada kanak-kanak serta penyediaan mekanisme pelaporan dan bantuan kepada pengguna.
"ONSA terpakai kepada pemberi perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP), Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) atau Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998),
"Ia bagaimanapun tidak terpakai terhadap pengguna individu," menurut kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam masa sama, suruhanjaya itu memaklumkan bahawa peruntukan ‘deeming’ di bawah Seksyen 46A, AKM 1998 akan turut berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
Berikutan penguatkuasaan itu, menurut MCMC, semua platform media sosial yang memenuhi kriteria pelesenan akan tertakluk kepada kerangka pelesenan sedia ada dan diwajibkan mematuhi undang-undang Malaysia, termasuk peruntukan di bawah ONSA.
Jelas suruhanjaya itu, langkah tersebut adalah sebahagian daripada pendekatan kawal selia berstruktur dan berperingkat bagi memastikan platform dalam talian berskala besar yang beroperasi di Malaysia tertakluk kepada tahap pengawasan serta akauntabiliti yang bersesuaian.
"Seiring perkembangan pesat ekosistem dalam talian negara, MCMC kekal komited untuk terus bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan, ibu bapa dan pendidik, agensi penguatkuasaan undang-undang, pertubuhan masyarakat sivil serta komuniti secara menyeluruh.
"Kerjasama ini penting bagi menyokong persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga," menurut kenyataan itu.















Comments