top of page

MCMC laksana siasatan awam cadangan mandatori daftar prabayar

  • nabalunews
  • Oct 15, 2025
  • 2 min read

15 Oktober 2025


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melaksanakan siasatan awam berhubung cadangan penentuan suruhanjaya bagi Standard Mandatori untuk pendaftaran pengguna perkhidmatan selular awam prabayar.


MCMC berkata, pelaksanaan kertas siasatan awam berkenaan dibuat selaras dengan Seksyen 55 dan 61 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, bertujuan memastikan ketelusan, keterangkuman dan akauntabiliti dalam proses pembangunan Standard Mandatori.


“Langkah ini memberi peluang kepada semua pihak berkepentingan mengemukakan pandangan serta maklum balas terhadap piawaian yang dicadangkan, seterusnya membantu MCMC menilai kesesuaian dan keberkesanannya sebelum standard tersebut dimuktamadkan.


“Standard Mandatori yang dicadangkan akan menggantikan Garis Panduan Pendaftaran Pengguna Prabayar 2017,” kata agensi itu menerusi kenyataan pada Rabu.


Menurut MCMC, standard baharu itu dibangunkan bagi memperkukuh integriti proses pendaftaran pengguna melalui pengenalan mekanisme keselamatan baharu menggunakan platform automatik yang selamat, iaitu Pengesahan Berbilang Faktor (Multi-Factor Authentication, MFA).


Jelasnya, di bawah peraturan baharu yang dicadangkan, MCMC akan mempunyai kuasa mengeluarkan arahan dan bertindak bukan sahaja terhadap penyedia perkhidmatan, tetapi juga terhadap pengedar yang terlibat dalam proses pendaftaran pengguna akhir prabayar.


“Langkah ini memastikan akauntabiliti merentasi keseluruhan rantaian pendaftaran, iaitu pengedar turut tertakluk kepada obligasi di bawah Seksyen 51 AKM 1998, bagi mengurangkan risiko salah laku yang boleh menjejaskan perlindungan pengguna.


“Selain itu, peraturan yang disemak semula turut memperkenalkan perlindungan tambahan bagi pengguna bawah umur. Individu berumur 12 hingga 17 tahun diwajibkan menjalani proses pendaftaran melalui ibu bapa atau penjaga sah,” menurut kenyataan itu lagi.


Cadangan standard tersebut juga memperkenal had baharu terhadap jumlah kad SIM yang boleh didaftarkan atas nama seorang individu sama ada warganegara Malaysia atau warga asing sebagai langkah membendung penyalahgunaan kad SIM yang berterusan.


MCMC turut mengalu-alukan penyertaan aktif daripada semua pihak berkepentingan bagi memastikan standard yang dibangunkan adalah menyeluruh, praktikal dan sejajar dengan keperluan semasa industri telekomunikasi.


Maklum balas dan pandangan boleh dihantar melalui pautan: https://www.mcmc.gov.my/en/media/announcements/notice-public-inquiry-on-proposal-of-new-commiss sehingga 28 November ini.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page