• Wartawan Nabalu News

Menteri dan Ahli Parlimen Perikatan Nasional diarah tidak setuju pilihan raya awal

4 Oktober 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) berpendirian bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak wajar diadakan pada tahun ini memandangkan Monsun Timur Laut akan bermula tidak lama lagi dengan banjir dijangka melanda negara terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur.


Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mengadakan pilihan raya semasa musim banjir tentunya akan menjejaskan perjalanan pilihan raya di samping menyusahkan rakyat.


“Kerajaan mesti memberi fokus kepada persiapan menghadapi musim banjir di samping terus memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan proses pemulihan negara pasca pandemik.


“Rakyat sedang terbeban dengan masalah inflasi, kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit di samping proses pemulihan negara yang masih perlahan.


“Penyelesaian kepada permasalahan ini mesti diberikan tumpuan sepenuhnya oleh kerajaan terutama menerusi Bajet 2023,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Muhyiddin berkata, anggota Jemaah Menteri dari Parti Perikatan Nasional telah diminta untuk mempertegaskan pendirian ini dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.


Beliau berkata, semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional juga diminta mengambil pendirian yang sama.