Menteri Perpaduan beri amaran keras terhadap provokasi agama di media sosial
- nabalunews
- Mar 7
- 1 min read

7 Mac 2025
KUALA LUMPUR: Semua pihak diingatkan agar tidak menyebarkan kenyataan berunsur provokasi, penghinaan, atau memperlekehkan agama di media sosial, kata Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang.
Amaran tersebut merujuk kepada tindakan segelintir individu, termasuk Vijayan Savarinathan, Zamri Vinoth, Saravanan Sanmugom, dan Crime_Man (nama di aplikasi TikTok), serta pihak lain yang didakwa menyebarkan kandungan yang menyinggung isu 3R (Race, Religion, Royalty).
"Tindakan tegas perlu diambil bawah Seksyen 298, 504, dan 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi memastikan keselamatan serta keharmonian masyarakat terus terpelihara," tegas beliau dalam satu kenyataan.
Beliau turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar segera mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam penyebaran kandungan tidak bertanggungjawab itu.
Dalam usaha memperkukuh perpaduan, Aaron memaklumkan bahawa Kementerian Perpaduan akan memperhebat Kempen Cakap Baik-Baik serta mempromosikan prinsip Faham, Hormat dan Terima melalui pelbagai program pendidikan awam.
Beliau turut mengingatkan masyarakat agar lebih beretika dalam penggunaan ruang maya dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan perpecahan.
"Perbuatan menghina agama dan sensitiviti kaum adalah ancaman kepada keamanan negara. Tindakan provokatif yang mengabaikan perasaan agama dan kaum lain boleh merosakkan keharmonian yang kita bina bersama," katanya.
Commentaires