Misi perdagangan khas francais ke London berpotensi raih pelaburan lebih RM34 juta

23 Ogos 2024
KUALA LUMPUR: Misi Perniagaan Khas Francais Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ke London berpotensi meraih pelaburan melebihi RM34 juta.
Misi tersebut diketuai oleh Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, pada 13 hingga 17 Ogos 2024.
Misi ini disertai lapan usahawan francais Malaysia iaitu syarikat UCMAS, Little Caliph, Marrybrown, Global Art, CIC Where Leaders Are Born, Q-Dees, Beard Brothers dan EL&N.
Pemilihan syarikat adalah berdasarkan potensi untuk mengembangkan perniagaan di United Kingdom menerusi kerjasama strategik antara Persatuan Francais Malaysia (MFA), Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom dan Ireland Utara.
Antara pengisian misi ini adalah pertemuan dengan pihak industri, diaspora Malaysia dan Malawakil Malaysia di London, lawatan kerja ke Battersea, syarikat francais Café EL&N milik syarikat United Kingdom yang mempunyai cawangan EL&N di Malaysia serta Meet Bros Steakhouse iaitu usahawan francais Malaysia yang telah beroperasi di United Kingdom.
Selain itu, perbincangan meja bulat bersama kesemua lapan usahawan syarikat francais turut diadakan bagi merangka strategi potensi francais di United Kingdom.
Lawatan kerja ini adalah langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan perniagaan antara Malaysia dan United Kingdom (UK) khususnya dalam meluaskan jaringan perniagaan francais Malaysia ke
pasaran Eropah.
"Kami berharap dengan adanya kerjasama strategik ini, usahawan francais Malaysia akan dapat memanfaatkan peluang-peluang yang tersedia untuk berkembang lebih jauh di peringkat global.
Lawatan ini juga bertujuan membuka ruang perbincangan yang lebih mendalam antara usahawan Malaysia dan UK serta mencari jalan untuk memanfaatkan potensi dan peluang pasaran di kedua-dua negara," kata Suriani.
Beliau berkata, KUSKOP komited untuk terus membantu usahawan Malaysia terutama dalam menyediakan kemudahan dan sokongan yang diperlukan bagi menembusi pasaran antarabangsa.
Misi perniagaan ini juga dapat meningkatkan persefahaman antara -dua negara dalam usaha untuk terus merancakkan sektor francais dan perniagaan secara keseluruhannya selaras dengan hasrat Malaysia MADANI di bawah tonggak nilai kesejahteraan.
Comments