top of page

MOF beri kemudahan kepada pihak industri dalam tempoh peralihan perubahan SST

  • nabalunews
  • 9 minutes ago
  • 1 min read

4 Julai 2025


PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) bersetuju memberi kemudahan kepada pihak industri dalam tempoh peralihan perubahan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).


Langkah itu diambil susulan maklum balas dan permohonan daripada penyedia perkhidmatan bercukai yang berdepan kesukaran mematuhi semua keperluan operasi, khususnya melibatkan naik taraf sistem bagi tujuan pematuhan.


Dalam kenyataan hari ini, MOF memaklumkan kerajaan memberi kelonggaran kepada pembekal perkhidmatan untuk mengemukakan penyata cukai secara manual bagi tempoh bercukai antara 1 Julai hingga 30 September 2025.


“Kerajaan MADANI memahami pembekal perkhidmatan yang memerlukan masa tambahan untuk menaik taraf sistem bagi pematuhan dan pengenaan cukai.


“Bagaimanapun, Cukai Perkhidmatan (CP) tetap wajib dikenakan dan dikutip dalam tempoh tersebut,” menurut kenyataan itu.


Selain itu, MOF berkata, pengilang yang telah berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia diwajibkan mengenakan dan mengutip Cukai Jualan (CJ) mulai 1 Julai 2025 dan layak memohon pengecualian ke atas bahan mentah digunakan dalam pengilangan barang bercukai.


Dalam pada itu, syarikat yang menerima pengecualian CJ melalui Jawatankuasa Pengecualian Cukai (JPC), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebelum 1 Julai akan terus menikmati pengecualian itu, tertakluk kepada tempoh dan syarat ditetapkan.


"Namun, sekiranya syarikat berkenaan mengilang barang siap bercukai selepas 1 Julai 2025 dan telah mencapai nilai ambang yang ditetapkan, mereka diwajibkan berdaftar sebagai pengilang berdaftar dan boleh memohon pengecualian melalui portal MySST di mysst.customs.gov.my.


"MOF berharap kemudahan ini akan terus membantu melancarkan urusan perniagaan serta memudahkan pematuhan oleh syarikat yang terlibat dalam peluasan skop SST," tambah kenyataan itu.


Untuk maklumat lanjut, orang awam dan peniaga yang boleh menghubungi hotline Pusat Panggilan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di talian 1-300-888-500.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page