Mohd Irwan dilantik Pengerusi Bank Rakyat yang baharu
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Mohd Irwan dilantik Pengerusi Bank Rakyat yang baharu

2 Februari 2024


KUALA LUMPUR: Pemangku Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dilantik sebagai Pengerusi Bank Rakyat berkuat kuasa hari ini.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata pelantikan itu berdasarkan ciri kepimpinan dan pengalaman luas Mohd Irwan sepanjang menggalas tugas sebagai Pemangku Pengerusi sejak 1 November 2022 lalu.


"KUSKOP berkeyakinan penuh dengan kelayakan, pengalaman dan kredibiliti beliau menggalas amanah serta mendukung misi dan visi Bank Rakyat dalam meneruskan sokongan terhadap ekosistem koperasi dan keusahawanan yang progresif selari dengan hasrat Malaysia MADANI," katanya dalam satu kenyataan.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman, berkata, Jawatankuasa Pengurusan dan seluruh warga kerja Bank Rakyat mengalu-alukan pelantikan Mohd Irwan sebagai pengerusi baharu bank berkenaan.


"Menerusi pengalaman luasnya, beliau dapat memimpin pelaksanaan Pelan Perniagaan 2024 dan Pelan Strategik jangka panjang yang meletakkan Bank Rakyat pada landasan tepat untuk mencapai prestasi mampan di samping menyampaikan pengalaman terbaik pelanggan," katanya.


Mohd Irwan yang mempunyai pengalaman lebih 21 tahun dalam bidang litigasi, undang-undang korporat dan syarikat serta pengurusan pematuhan telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat pada 24 Julai 2020.

bottom of page