MOT cadang pinda Akta 333 wajibkan pesalah bawah pengaruh alkohol bayar ganti rugi
- nabalunews
- 21 minutes ago
- 2 min read

30 Mac 2026
PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang merangka cadangan pindaan lanjut terhadap Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang mewajibkan pesalah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa, selain daripada hukuman penjara yang dikenakan.
Menterinya Anthony Loke berkata langkah ini selaras dengan pendirian kerajaan yang tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol mahupun dadah kerana ia jelas membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.
“Pindaan undang-undang yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pesalah telah diluluskan di Dewan Rakyat dan berkuat kuasa pada Oktober 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Akta 333 mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun, serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000, jika disabitkan kesalahan.
Bagi kesalahan berulang, hukuman adalah lebih berat, iaitu penjara tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak melebihi 20 tahun, serta denda antara RM100,000 hingga RM150,000.
“Justeru, MOT menggesa Polis Diraja Malaysia untuk menyegerakan siasatan kes kemalangan melibatkan penunggang motosikal di Klang semalam secara menyeluruh agar kertas siasatan dapat dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk menjalankan pendakwaan, seterusnya berharap agar mahkamah menjatuhkan hukuman paling berat terhadap pesalah sekiranya didapati bersalah,” katanya.
Dalam pada itu, MOT turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Amirul Hafiz Omar yang terlibat dalam nahas tragis berkenaan dan menyifatkan kehilangannya amat menyayat hati dan merupakan satu bentuk kecuaian jenayah yang tidak boleh diterima sama sekali.
Semalam, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey memaklumkan seorang penunggang motosikal maut dilanggar pemandu kereta yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam nahas di Jalan Raya Barat di Klang.
Insiden yang berlaku kira-kira 11.40 pagi itu mengakibatkan mangsa tercampak ke atas bumbung kereta lain dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Rakaman video kemalangan itu turut tular di media sosial yang memaparkan sebuah kereta dipandu laju memotong garisan berkembar dan merempuh sebuah motosikal sehingga mengakibatkan penunggangnya melambung sebelum tercampak ke atas kenderaan lain. -Bernama















Comments