top of page
  • Wartawan Nabalu News

MP Tuaran kecewa Bahasa Kadazandusun tidak ditawarkan program ijazah perguruan 2023

29 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Anggota Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menzahirkan kekecewaan dengan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia tidak menyenaraikan bidang pengkhususan Bahasa Etnik untuk pengambilan calon guru sesi 2023 di Institut Pendidikan Guru (IPG).


Menurutnya setelah meneliti bidang pengkhususan yang diiklankan untuk pengambilan guru tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) tahun 2023, didapati tidak ada disenaraikan pengambilan calon guru untuk bidang pengkhususan Bahasa Etnik iaitu Bahasa Kadazandusun, Bahasa Iban dan Bahasa Semai.  


Madius yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata langkah itu tidak selari dengan konsep Malaysia Madani yang meraikan kepelbagaian kaum.


"Nampaknya apa yang telah dicanang-canang di seluruh pelusuk negara ini kelihatannya hanya cakap-cakap biasa. Kita bercakap mengenai Perpaduan, kita bercakap mengenai Malaysia Madani meraikan kepelbagaian, pemacu kewujudan masyarakat maju dan bertamadun berdasarkan ilmu pengetahuan, tetapi akhirnya langsung tidak ada disenaraikan pengambilan untuk Bahasa Kadazandusun, Bahasa Iban dan Bahasa Semai di IPG.


"Adakah ini yang dimaksudkan perpaduan? Adakah ini yang dikatakan sebagai meraikan kepelbagaian?  katanya.


Madius berkata demikian ketika menyertai Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 Untuk Kementerian Pendidikan Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Selasa.


Beliau percaya kunci utama kepada kerajaan yang ada pada hari ini terletak kepada perkataan Perpaduan.


"Malahan konsep Malaysia MADANI itu sendiri adalah bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian, menjadi pemacu kewujudan masyarakat maju dan bertamadun berdasarkan ilmu pengetahuan, tradisi, khazanah dan kearifan tempatan," katanya.


Sehubungan itu, Madius menuntut Kementerian Pendidikan memberi penjelasan mengapa bidang pengkhususan bahasa etnik iaitu Bahasa Kadazandusun, Bahasa Iban dan Bahasa Semai tidak ditawarkan dalam pengambilan guru tajaan Kementerian Pendidikan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) tahun 2022 dan 2023.

bottom of page