MPN Sabah bidas kenyataan provokasi pemimpin WarisanMPN Sabah bidas kenyataan provokasi pemimpin Warisan
top of page
  • nabalunews

MPN Sabah bidas kenyataan provokasi pemimpin Warisan



17 Disember 2021


1. Merujuk ucapan Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darrel Leiking yang dipetik oleh Malaysiakini pada 11 Disember 2021 dan kenyataan Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari di Borneo Today pada 16 Disember 2021 yang membidas Kenyataan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) adalah berbaur provokasi yang hanya ingin membuka ruang polemik politik yang melemahkan kesepakatan Pembangkang yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH).


2. Kenyataan-kenyataan tersebut hanya ingin memperlekehkan usaha Pakatan Harapan yang menjadi nadi harapan rakyat dalam memastikan kestabilan politik negara reda agar semua pihak dapat menumpukan usaha memulihkan ekonomi negara serta memastikan kehidupan sosio ekonomi rakyat dapat dipertingkatkan dalam mendepani cabaran pasca pandemik Covid-19.


3. Kita menghormati pendirian pimpinan dan ahli-ahli Parlimen Warisan yang tidak mahu terlibat secara langsung menandatangani MoU di antara Kerajaan Pusat dan Pakatan Harapan. Untuk rekod pimpinan Pakatan Harapan tidak pernah mengasak atau mengejek pemimpin-pemimpin Warisan kerana tidak turut sama menandatangani MoU tersebut. Apa yang dibuat ialah pimpinan PH membuka ruang kepada Pimpinan Warisan untuk mempertimbangkan MoU tersebut untuk kebaikan rakyat yang tersepit dengan tekanan ekonomi yang merudum disebabkan Pandemik Covid-19.


4. Pendekatan yang sama kita buat di peringkat negeri apabila Pakatan Harapan Sabah mengemukakan Agenda Reformasi Sabah kepada Kerajaan GRS. Kita bersemuka dengan Pimpinan Utama Warisan dan menerangkan dengan jelas justifikasi cadangan tersebut dan memohon pertimbangan wajar. Kita menghormati pandangan pimpinan Warisan untuk tidak mahu terlibat dan PH Sabah meneruskan misi mengangkat Agenda Reformasi Sabah kepada Ketua Menteri. Tidak ada sebab untuk kita mengasak apalagi mengejek pimpinan Warisan kerana tidak turut terlibat sebab kita percaya dengan politik nilai dan matang demi kebaikan rakyat negeri ini.


5. Sebagai mantan Pimpinan Parti Keadilan Rakyat Sabah satu ketika dahulu, Datuk Awang Ahmad Shah dan Datuk Darrel Leiking sepatutnya maklum bahawa perjuangan untuk mempertahankan hak Sabah dan Sarawak ini bukannya baru malah sejak penubuhan Malaysia. Di dalam parti, kita sama-sama mengkritik Kerajaan Barisan Nasional dahulu terutama ketidakseimbangan pengagihan kek ekonomi negara ini. Setiap kali Pilihanraya kita menyediakan pelbagai Manifesto untuk memperjuangkan nasib rakyat dan memohon Kerajaan Pusat menambah Belanjawan Tahunan kepada Sabah dan Sarawak sejak 20 tahun yang lepas. Oleh itu adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa hanya apabila Warisan wujud maka barulah cetusan gelombang baru perjuangan rakyat digerakkan.


6. Konteks ucapan Datuk Darrel semasa Perhimpunan Agung Warisan yang mengatakan MoU telah membuka ruang kepada agenda perkauman dan agama dan Pimpinan PH tidak mampu menentang adalah tafsiran yang tidak tepat sama sekali. Isu perkauman dan agama ini sudah terbit sejak awal lagi dan semua maklum bahawa penubuhan parti politik yang berdasarkan kaum dan agama telah menyuburkan isu ini dalam konteks politik negara. Sabah adalah antara negeri yang mempelopori parti berbilang kaum dengan latar keharmonian bermasyarakat yang amat baik. Parti Keadilan Rakyat dan penubuhan Pakatan Harapan dulunya Pakatan Rakyat yang berbilang kaum dan agama adalah untuk memecahkan tembok agenda perkauman dan agama di negara ini. Gelombang yang dicetuskan sejak tahun 1998 telah banyak merubah lanskap politik negara ini dan kehadiran Warisan pada tahun 2016 dan kesanggupan Tun Mahathir untuk bersama PH telah berjaya menumbangkan Kerajaan 60 tahun BN dan berjaya merampas tujuh negeri termasuk Sabah.


7. Kami ingin mengingatkan Parti Warisan bahawa Kerjasama Politik diperingkat negeri dan negara adalah kunci untuk meneruskan agenda Reformasi dan Perubahan yang menjadi harapan rakyat negara ini. Kita telah memberi ruang dan peluang kepada Parti Warisan untuk menjadi Teraju Utama negeri ini dengan mengembalikan kegemilangan Parti Lokal seperti di Sarawak. Pimpinan PH telah memberi ruang secukupnya agar parti Warisan dapat menterjemahkan idealisma perjuangan rakyat Sabah di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. Selama ini kita berdiam untuk memastikan perpaduan dan kerjasama strategik yang dipelopori dapat dipertahankan demi kebaikan rakyat negara dan negeri ini. Jika Warisan masih meneruskan usaha memecah belahkan perpaduan ini maka Pakatan Harapan perlu menilai semula kerjasama dengan merancang dan melaksana strategi baru dalam menghadapi PRU15.


MUSTAPHA SAKMUD

TIMBALAN PENGERUSI

MAJLIS PIMPINAN NEGERI (MPN) KEADILAN NEGERI SABAH

MERANGKAP

SETIAUSAHA PAKATAN HARAPAN SABAH


bottom of page