MPT dicadang beri kelonggaran 3 bulan laksana Sistem Smart Parking tahun hadapan
- nabalunews
- 9 minutes ago
- 2 min read

21 Disember 2025
TAWAU: Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dicadang agar mempertimbangkan pemberian tempoh kelonggaran sekurang-kurangnya tiga bulan pada peringkat awal pelaksanaan Sistem Smart Parking (SSP) di daerah ini.
Ahli Jawatankuasa DAP Sabah, Philip Yap (gambar) berkata pelaksanaan SSP yang dijadual bermula 1 Januari 2026 adalah selaras dengan pewartaan Uniform Vehicle Parking By-law 2023 yang menggantikan MPT Parking By-law 1982.
Menurutnya, dengan pelaksanaan SSP, Tawau menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) keempat di Sabah yang melaksanakan sistem parkir pintar dan segala urusan kutipan caj parkir akan dikendalikan sepenuhnya oleh MPT, menggantikan peranan Tawau Carpark Sdn Bhd sebelum ini.
Katanya, sistem ini melibatkan penggunaan aplikasi Smart Parking MPT yang boleh dimuat turun melalui telefon pintar, manakala, kaedah lama menggunakan tiket parkir fizikal akan dihentikan sepenuhnya, sejajar dengan usaha pendigitalan perkhidmatan majlis.
"Dengan pelaksanaan sistem itu, kawasan parkir berbayar akan diperluaskan ke beberapa kawasan komersil, termasuk kawasan Pusat Komersil Unijaya, Pusat Komersil Gaya, Pusat Komersil Taipan, Jalan Budi serta Pertama Kompleks (Takada)," katanya.
Bagaimanapun, Philip berkata beliau menerima banyak maklum balas dan rungutan daripada orang awam, khususnya warga emas serta individu yang kurang celik digital yang bimbang bakal berdepan kesukaran menggunakan aplikasi parkir pintar ini.
Justeru, beliau mencadangkan supaya dalam tempoh tiga bulan pertama SSP, tindakan pengeluaran saman ke atas kenderaan yang gagal membuat bayaran parkir wajar ditangguhkan dan mengutamakan pendekatan pendidikan.
Dalam masa yang sama, beliau turut mencadangkan agar notis panduan penggunaan aplikasi Smart Parking diletakkan pada kenderaan supaya pengguna mempunyai masa yang mencukupi untuk memahami dan menyesuaikan diri dengan sistem baharu ini.
Tambahnya, pelaksanaan teknologi baharu harus bersifat inklusif kerana matlamatnya bukan untuk menyukarkan rakyat, tetapi untuk memudahkan.
Terdahulu, Philip menyatakan beliau ada berhubung dengan pihak MPT berkenaan perkara itu dan dimaklumkan bahawa walaupun sistem lama akan dihentikan, pihak majlis akan menyediakan alternatif dengan menjual kupon tiket gores sebagai pilihan kepada pengguna yang tidak menggunakan aplikasi telefon pintar.














