MUDA gesa Perdana Menteri dan kabinet untuk letak jawatanMUDA gesa Perdana Menteri dan kabinet untuk letak jawatan
top of page
  • Nur Syafiqah Abdullah

MUDA gesa Perdana Menteri dan kabinet untuk letak jawatan



29 Julai 2021

Oleh Nur Syafiqah Abdullah


KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) turut menggesa agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh barisan kabinet meletak jawatan.


Kenyataan Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA itu dikeluarkan sejurus selepas kenyataan Istana Negara menjelaskan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen telah membelakangi Yang di-Pertuan Agong kerana membatalkan semua Ordinan Darurat walhal belum lagi diperkenan.


"YB Menteri telah memaklumkan kepada dewan, selaku wakil kepada kerajaan bahawa pembatalan semua Ordinan Darurat ini adalah keputusan kabinet, bermaksud ianya adalah pendirian rasmi kerajaan termasuk Perdana Menteri serta semua Menteri-Menteri kabinet.


”MUDA turut berpendapat bahawa tindakan Takiyuddin dilihat bercanggah dengan prinsip keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan asas demokrasi berparlimen.


"Jelas bahawa kerajaan hari ini telah menderhaka, muflis dari segala kedudukan moral dan mandat untuk terus memerintah,” kata kenyataan itu.


Sehubungan itu Parti MUDA berpandangan bahawa Perdana Menteri serta seluruh barisan kabinet perlu letak jawatan dengan segera dan mandat dalam memilih pemerintahan yang baru harus dikembalikan semula kepada Parlimen.


"Kita tidak boleh membenarkan Malaysia terjerumus menjadi sebuah negara autokratik," menurut kenyataan tersebut.

bottom of page