MUDA umum akan bertanding di PRN Melaka MUDA umum akan bertanding di PRN Melaka
top of page
  • Writer's pictureIlona Andrew

MUDA umum akan bertanding di PRN Melaka


27 Okt 2021

Oleh Ilona Andrew


MELAKA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan pada 20 November ini.


Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, parti itu kini sedang dalam proses rundingan bersama Pakatan Harapan (PH) untuk pengagihan kerusi yang akan diumumkan bersama setelah tempoh rundingan itu selesai.


“Saya telah dimaklumkan bahawa PH sedang membincangkan logo apa yang bersesuaian, tapi yang jelas bahawa mana-mana gabungan yang kita sertai, kita perlu tekankan tiga perkara iaitu politik rakyat yang berbilang bangsa dan agama, politik moderat dan dasar, dan politik khidmat.


“Calon yang akan dipertengahkan memang yang dinamik, berpengalaman dan jelas perlu ada trek rekod berkhidmat,” katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.


Menurut Syed Saddiq, MUDA ingin memainkan peranan dalam membentuk politik di Melaka kerana sudah tiba masanya untuk cetuskan budaya politik yang baru, bermaruah, berintegriti serta merancakkan dan menetapkan semula politik di Malaysia


“Perlu kita menghantar mesej yang jelas melalui PRN Melaka ini bahawa politik katak melompat, tidak berintegiriti dan tidak bermaruah harus ditolak secara jelas.


“Perebutan kuasa di kalangan politik elit yang mengakibatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri di kala rakyat memerangi pandemik menyebabkan rakyat perlu membayar RM46 juta untuk membiayai PRN,” katanya.

bottom of page