top of page

Muhyiddin Harus Bertanggungjawab, Berundur Secara Terhormat: Najib

  • Wartawan Nabalu News
  • Jul 29, 2021
  • 2 min read


29 Julai 2021

Oleh Marryan Razan dan Jacquline Ebit


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin mesti bertanggungjawab terhadap apa yang telah berlaku dan berundur secara terhormat sebagai Perdana Menteri.


Bekas Perdana Menteri itu berkata, ini berikutan kemurkaan Yang di-Pertuan Agong seperti dalam kenyataan rasmi Istana Negara hari ini.


“Berikutan dengan kemurkaan Yang di-Pertuan Agong maka saya berpendirian bahawa Perdana Menteri mesti ambil tanggungjawab atas apa yang berlaku dan pilihan terbaik ialah untuk Tan Sri Muhyiddin berundur secara terhormat,” katanya dalam sidang media yang diadakan secara langsung menerusi Facebooknya, hari ini.


Najib berkata, berdasarkan kepada titah Agong, ia amat jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong murka dengan perkembangan yang berlaku.


“Perkara pokok yang disebutkan itu, ada tindakan-tindakan yang dilakukan tidak mengikut kehendak perlembagaan negara.


“Ini satu kenyataan yang dibuat berasaskan prinsip yang begitu penting, di mana sebagai seorang ahli parlimen kita angkat sumpah untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan perlembagaan negara.


“Maka kalau ada sesuatu tindakan yang boleh bersifat sebagai tidak mengikuti perlembagaan negara maka sebagai seorang yang telah mengangkat sumpah, menjadi tanggungjawab untuk mempertahankan perlembagaan negara sesuai dengan sumpah yang telah dilafazkan,” katanya.


Sehubungan itu katanya, secara peribadi beliau berpendapat bahawa Perdana Menteri mesti mengambil tanggungjawab atas apa yang telah berlaku sebagai ketua kerajaan.


“Saya pernah menjadi ketua kerajaan selama sembilan tahun dan saya tahu urusan ini adalah urusan antara Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong dan sebenarnya tidak boleh diwakili kepada menteri-menteri atau kepada pihak yang lain,” katanya.


Najib berkata, pendiriannya bukan personal tapi soal prinsip dalam urusan kerajaan terutama sekali kerajaan bersama-sama dengan parlimen, demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan.


Tambahnya lagi, pendirian beliau adalah untuk kepentingan negara kerana “kita tak mahu pentadbiran yang terganggu gugat, pentadbiran mesti berjalan lancar demi kepentingan rakyat”.


Katanya lagi, Ordinan Darurat perlu dibahaskan di Dewan Rakyat seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong.


Mengenai sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin, Najib berkata, Umno telah membuat keputusan untuk menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tapi parti masih menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page