Muhyiddin pertahan masih ada majoriti, usul undi percaya di Dewan Rakyat September iniMuhyiddin pertahan masih ada majoriti, usul undi percaya di Dewan Rakyat September ini
top of page
  • Farid Johan

Muhyiddin pertahan masih ada majoriti, usul undi percaya di Dewan Rakyat September ini



4 Ogos 2021

Oleh Farid Johan


KOTA KINABALU: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa ini.


Bagaimanapun katanya usul undi percaya kepadanya sebagai Perdana Menteri akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada September ini.


“Dalam majlis menghadap pagi ini, saya telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya telah menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan saya bahawa saya masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa ini.


“Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit.


“Namun, saya juga sedar bahawa kedudukan saya sebagai Perdana Menteri seringkali dipersoalkan. Maka, saya telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa saya akan menentukan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.


“Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada September,” katanya dalam perutusan khas, hari ini.


Muhyiddin berkata, melalui undi percaya kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.


Beliau mengesahkan telah menerima warkah daripada Yang di-Pertuan Agong semalam yang memaklumkan kepadanya terdapat lapan Ahli Parlimen UMNO telah menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa mereka telah menarik sokongan kepada saya.


“Di dalam warkah ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memetik dua peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.


“Pertama, Perkara 43 (2) (a) iaitu: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu"; dan


Kedua, Perkara 43 (4) iaitu:


"Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong".


“Sehubungan itu, saya telah dititah menghadap oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada jam 11.00 pagi tadi,” katanya.

bottom of page